SIVAKUMAR, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
SIVAKUMAR, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Wartawan BH


Kuala Lumpur: Kontrak lima pegawai yang bekerja di bawah Menteri Sumber Manusia V Sivakumar ditamatkan, menurut sumber kementerian berkenaan kepada sebuah portal.

Sumber berkenaan turut mengesahkan terdapat seorang pegawai daripada kementerian itu yang dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Setakat ini tiada sebarang pengesahan diberikan oleh Sivakumar berkaitan isu berkenaan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pembantu Sivakumar, namun membebaskan mereka selepas perintah reman empat hari tamat pada 17 April lalu.

Penahanan mereka dipercayai berhubung siasatan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

Beberapa pihak turut mendesak Sivakumar bercuti atau meletakkan jawatan selepas beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, Sivakumar bertegas tidak akan meletak jawatan dengan menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 7:02 PM