SEBANYAK 24,098 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang 2022 sehingga Februari lalu. FOTO Arkib NSTP
SEBANYAK 24,098 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang 2022 sehingga Februari lalu. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Perkembangan teknologi termasuk media sosial dilihat antara pendorong kepada trend peningkatan kes penipuan dalam tempoh 10 tahun lalu kebelakangan ini.

Di sebalik kemudahan itu, ada pihak mengambil kesempatan dengan melakukan jenayah penipuan termasuk secara dalam talian.

Malah, sindiket penipuan dalam talian juga dilihat semakin kreatif menjalankan pelbagai taktik untuk menjerat mangsa, seterusnya menyebabkan mangsa kerugian ratusan ribu malah jutaan ringgit.

Justeru, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berdepan tugas mencabar dalam mendepani dan menyelesaikan kes penipuan yang dilaporkan setiap hari.

Ikuti wawancara Pengarah JSJK Bukit Aman DATUK MOHD KAMARUDIN MD DIN bersama wartawan, NURUL HIDAYAH BAHAUDIN bagi mengupas isu ini.

Serba sedikit berkaitan latar belakang JSJK Bukit Aman.

Jabatan ini bermula sebagai satu daripada bahagian dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang dikenali dengan nama D5A dan D5B iaitu Cawangan Siasatan Jenayah Perdagangan JSJ.

Bagaimanapun, bermula 1 Januari 2005, bahagian ini dinaik taraf menjadi JSJK sekali gus menjadi jabatan ketujuh dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketika ini, JSJK dianggotai 2,296 petugas merangkumi 944 pegawai kanan; 1,168 anggota dan 184 kakitangan awam.

Pusat Respons Scam Kebangsaan atau National Scam Response Center (NSRC), apa peranan serta kejayaan yang sudah diraih?

NSRC mula beroperasi pada 12 Oktober tahun lalu selepas penubuhannya diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (ketika itu).

Objektif penubuhan NSRC adalah sebagai pusat pengurusan aduan dan respons, pusat koordinasi pencegahan bersepadu dan tindakan penguatkuasaan bersepadu.

NSRC adalah usaha sama antara PDRM, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi kewangan serta industri telekomunikasi.

Pusat ini beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 8 malam dan boleh dihubungi melalui talian 997.

Sejak ditubuhkan 12 Oktober lalu sehingga Februari lalu, NSRC menerima 20,881 panggilan membabitkan 3,584 kes dengan jumlah kerugian keseluruhan direkodkan ialah RM68.5 juta.

Pada masa sama, 19,378 akaun dipercayai akaun keldai juga berjaya dikesan.

Ramai yang terperdaya dengan pelbagai jenis penipuan atau scam. Bagaimana PDRM menerusi JSJK mengatasi isu ini?

Dalam usaha mengatasi permasalahan ini, JSJK mengadakan Kempen Anti Scam PDRM sebagai satu pendekatan bagi mengekang ancaman jenayah komersial yang semakin meningkat.

Kempen ini dilancarkan secara rasmi bermula 25 Jun 2022 di Johor Bahru, Johor dan berterusan sehingga kini dengan memberi fokus menyampaikan informasi kepada masyarakat.

Ini termasuk maklumat berkaitan ancaman jenayah penipuan dalam talian yang merangkumi modus operandi, trend terkini jenayah dan tip pencegahan.

Antara program yang dilaksanakan di bawah Kempen Anti Scam ini adalah wawancara, ceramah di sekolah dan rumah ibadat dan sembang santai.

Daripada segi pelaksanaan program bagi tempoh tahun lalu sehingga Februari lalu, sebanyak 1,190 program dijalankan secara pameran; ceramah (2,525), wawancara televisyen atau radio (2,768), sembang santai (804), meet and greet (1,082) dan High Profile Policing (554).

Jumlah keseluruhan program yang dijalankan dalam kempen berkenaan sepanjang 2022 adalah 7,404 program, manakala 1,519 program direkodkan bagi tempoh Januari hingga Februari lalu.

JSJK juga ada melancarkan lagu dan video muzik anti scam bertajuk Be Smart Stay Alert yang mencatatkan 8,073 tontonan selepas dimuat naik melalui saluran YouTube PDRM, RMPTV pada 4 Januari lalu.

Jabatan ini juga mengadakan kolaborasi dengan syarikat Whoscall yang juga pembangun aplikasi identifikasi panggilan.

Melalui kerjasama dengan Whoscall, mana-mana nombor telefon yang tersenarai dalam pangkalan data Sistem Semakmule milik JSJK akan ditandakan sebagai scammer oleh pihak Whoscall sekali gus membolehkan pengguna berwaspada.

Pengguna hanya perlu memuat turun dan memasang aplikasi Whoscall di telefon bimbit untuk menikmati kemudahan ini.

Kejayaan diraih JSJK?

Sepanjang 2022 sehingga Februari lalu, 36,913 kes jenayah komersial direkodkan membabitkan kerugian hampir RM2 bilion.

Bagi kes penipuan dalam talian pula, 24,098 kes direkodkan sepanjang tempoh sama membabitkan kes seperti belian dalam talian, pelaburan, pinjaman tidak wujud, Phone Scam, Love Scam, penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Business Email Compromise (BEC).

Daripada segi operasi pula, 23,640 operasi dilakukan membabitkan 26,347 tangkapan dengan 16,579 pertuduhan dibuat berkaitan jenayah komersial sepanjang tempoh sama.

Daripada jumlah itu, 15,322 operasi membabitkan 15,403 tangkapan dengan 11,917 pertuduhan dibuat berkaitan penipuan dalam talian bagi tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 7:00 AM