KAMARUL Zaman berkata kes penipuan yang dilapor mangsa meningkat 15.5 peratus berbanding tahun lalu. FOTO NSTP.
KAMARUL Zaman berkata kes penipuan yang dilapor mangsa meningkat 15.5 peratus berbanding tahun lalu. FOTO NSTP.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Sebanyak 2,079 laporan jenayah penipuan dalam talian diterima Polis Johor bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah itu meningkat 15.5 peratus, berbanding 1,800 kes yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu.

"Nilai kerugian yang dicatatkan adalah berjumlah RM71,856,561.37, berbanding RM57,026,986.57 tahun sebelumnya.

"Jumlah kerugian ini bagaimanapun menunjukkan pengurangan RM14,829,574.80 atau 26 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pembelian dalam talian menjadi penyumbang kes penipuan terbesar tahun ini iaitu 485 kes (23.3 peratus) dengan nilai kerugian RM7,174,113.39.

Katanya, ia diikuti pelaburan tidak wujud sebanyak 382 kes (18.4 peratus) dengan nilai kerugian RM29,465,101.63 dan penipuan panggilan telefon sebanyak 368 kes (rugi RM17,729,811.79).

"Tawaran kerja palsu ada 361 kes (rugi RM9,996,109.60) dan pinjaman tidak wujud 338 kes (rugi RM3,946,948.50).

"Sebanyak 478 kes sudah dilaporkan mangsa kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk tujuan sekatan aktiviti akaun bank," katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar lebih berwaspada apabila berurusan secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan dan membuat semakan melalui aplikasi 'Semak Mule' yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Katanya, maklumat berkaitan dan modus operandi terkini jenayah komersial juga boleh dirujuk di Facebook JSJK, selain Instagram dan TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 6:02 PM