Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menubuhkan pusat panggilan setempat 'CCID Scam Response Center' sebagai salah satu mekanisme untuk memerangi jenayah Macau Scam.

Pengarahnya Datuk Zainuddin Yaacob berkata, tugas dan tanggungjawab pusat itu bagi membolehkan orang ramai berhubung untuk membuat pertanyaan berkaitan jenayah penipuan Macau Scam.

"Ia turut berfungsi sebagai penerima maklumat pertama (iaitu maklumat nombor telefon dan maklumat bank akaun yang diberikan oleh sindiket Macau Scam).

"Pusat berkenaan yang ditubuhkan pada 15 Februari lalu turut membantu orang ramai mendapatkan pengesahan panggilan sama ada ia daripada pejabat kerajaan, Macau Scam atau panggilan daripada kegiatan scam lain.

"Pusat ini boleh dihubungi melalui talian 03-26101559 atau 03-26101599 setiap hari bermula 8 pagi hingga 8 malam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, sebanyak 5,725 kes berkaitan Macau Scam dilaporkan di negara ini pada 2019 membabitkan kerugian berjumlah RM254.5 juta.

"Jumlah laporan kes meningkat pada tahun lalu iaitu sebanyak 6,003 kes dengan kerugian RM287.3 juta.

"Bagi tempoh 1 Januari tahun ini hingga Rabu lalu, kami menerima sebanyak 1,392 kes dengan kerugian sebanyak RM38.1 juta sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dan perlu ditangani segera," katanya.

Beliau berkata, Macau Scam adalah antara modus operandi jenayah yang kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini.

"Kemudahan aplikasi 'voice over internet protocol' (VIOP) digunakan penjenayah untuk menyembunyikan identiti sebenar mereka semasa menghubungi mangsa.

"Selain itu, terdapat pelbagai taktik lain digunakan penjenayah untuk memperdayakan mangsa termasuk menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Malah, ada sindiket turut menyamar sebagai institusi kewangan dan perkhidmatan seperti agensi kutipan hutang, Telekom dan Pos Malaysia selain ahli keluarga, rakan serta golongan kenamaan (VVIP) untuk menipu mangsa," katanya.

Beliau menyeru orang ramai memanfaatkan kemudahan pusat panggilan setempat itu bagi memastikan ancaman jenayah Macau Scam dapat diatasi dan matlamat pencegahan dicapai.

"Kami berharap orang ramai dapat bersama berganding bahu dengan pihak polis untuk memerangi kegiatan penipuan dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 5:45 PM