ORANG ramai membayar saman yang diberi potongan 50 peratus pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Saifullizan Tamadi
ORANG ramai membayar saman yang diberi potongan 50 peratus pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Saifullizan Tamadi
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 12,300 pesalah trafik sudah menjelaskan 37,242 saman dalam tempoh dua hari sempena program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sejak Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, saman itu dijelaskan di 14 kaunter bayaran saman termasuk baucer yang dijelaskan melalui portal dan aplikasi MyBayar Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Dengan rekod penyelesaian saman sebanyak 87.4 peratus (tidak termasuk penyelesaian saman di kaunter).

"Seramai 39 orang petugas diaturkan dan turut menyediakan kaunter khas bagi warga

emas serta orang kurang upaya (OKU)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, waktu pengoperasian kaunter bermula pada jam 9 pagi hingga 6 petang dan dilanjutkan sehingga jam 9 malam bagi memberi ruang kepada masyarakat untuk berurusan.

"Kempen pengurangan kompaun saman sehingga 50 peratus itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan di samping PDRM berpeluang menyantuni masyarakat dalam menyalurkan maklumat dengan lebih jelas.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak hanya menunggu ketika tawaran diskaun diumumkan bagi menjelaskan saman tertunggak milik mereka dan menyarankan agar patuh kepada peraturan serta undang-undang lalu lintas.

"Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 4:26 PM