Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Orang ramai mempunyai sehari lagi untuk menyelesaikan saman pada kadar khas RM50 bagi semua jenis kesalahan trafik sebelum tempoh tawaran berakhir esok.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa pemilik saman trafik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyelesaikan saman tertunggak sebelum tawaran itu ditutup.

"Kadar Khas Bayaran Saman PDRM. Tinggal satu hari sahaja lagi. Jom bayar segera!," katanya menerusi satu ciapan di Twitter hari ini.

PDRM melaksanakan Kadar Khas Bayaran Saman berjumlah RM50 setiap satu bagi semua saman trafik termasuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya bermula 21 April lalu hingga 21 Mei ini.

Tawaran kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023 serta kes saman yang masih melalui proses perbicaraan di mahkamah.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim memaklumkan kadar khas itu julung kali dilaksanakan bagi memberi peluang orang ramai menyelesaikan saman yang tidak boleh dikompaun.

Pembayaran saman boleh dibuat menerusi aplikasi MyBayar Saman, semua kaunter bayaran trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran (hari bekerja), mesin ATM Maybank seluruh negara dan semua kaunter pejabat Pos Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 11:04 PM