ANGGOTA polis menerbangkan dron di sekitar kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya untuk mengesan sebarang bukti dan laluan tikus di kawasan penemuan mayat Zayn Rayyan. FOTO Suhanna Iskandar
ANGGOTA polis menerbangkan dron di sekitar kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya untuk mengesan sebarang bukti dan laluan tikus di kawasan penemuan mayat Zayn Rayyan. FOTO Suhanna Iskandar
Raja Noraina Raja Rahim; Muhaamad Hafis Nawawi dan Suhanna Iskandar


Petaling Jaya: Pasukan penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan dron bagi mengesan sebarang bukti dan laluan tikus di kawasan penemuan mayat kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, hari ini.

Operasi menerbangkan dron dijalankan sepasukan anggota dari Unit Drone Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman kira-kira 5 petang.

Unit dron itu diterbangkan pada ketinggian kira-kira 30 meter di sekitar kawasan belukar dan anak sungai yang menjadi lokasi penemuan mayat.

Difahamkan, tindakan itu bagi mengesan sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan kejadian pembunuhan kanak-kanak berusia enam tahun terbabit selain kemungkinan terdapat laluan tikus di kawasan itu.

Sebelum itu, pasukan penyiasat turut menjalankan pemeriksaan di lokasi sama dan memeriksa kenderaan yang diparkir di sekitar Blok R dan S bagi melihat jika terdapat sebarang kamera papan pemuka pada kenderaan itu.

Ia dipercayai bertujuan mendapatkan rakaman yang dapat membantu siasatan.

Pada Selasa lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang oleh ibunya di apartment berkenaan pada jam 12.30 tengah hari, sebaik diambil dari Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2).

Susulan itu, operasi pencarian dijalankan oleh polis termasuk kerjasama unit anjing pengesan (K9) dan bomba di sekitar kawasan itu sebelum mayatnya ditemui penduduk yang menyertai operasi.

Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan polis membuka kertas siasatan bunuh selepas mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 5:57 PM