PENGUNJUNG, Batumalai Subramaniam, Kamarul Johari, dan Wong Huey Shing diantara 3000 pengunjung yang menerima topi keledar baharu anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika Program Setahun bersama Kerajaan Madani di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Aziah Azmee
PENGUNJUNG, Batumalai Subramaniam, Kamarul Johari, dan Wong Huey Shing diantara 3000 pengunjung yang menerima topi keledar baharu anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika Program Setahun bersama Kerajaan Madani di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Aziah Azmee
Noor Hidayah Tanzizi dan Nur Elysa Amirah Suhaimi

Kuala Lumpur: "Hari ini baru saya tahu bahawa topi keledar juga ada tamat tempoh. Kali pertama saya berpeluang menukar topi keledar baru secara percuma dalam program seperti ini," kata pesara Kamarul Johari, 61.

Dia adalah antara 1,000 individu yang merebut peluang menukar topi keledar anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, tadi.

Menurutnya, dia beratur seawal jam 8.30 pagi dan menunggu kira-kira lebih sejam dengan perlu membawa topi keledar lamanya bagi mendapatkan topi keledar baharu yang mempunyai cop SIRIM Berhad (SIRIM).

"Saya sudah menggunakan topi keledar lama sejak lima tahun lalu. Topi keledar ini sudah uzur, malah saya perlu guna 'stapler' supaya span di bahagian dalam topi itu tidak bergerak.

"Apabila kawan beritahu JPJ ada buat program tukar topi keledar, saya segera datang ke sini dari Bandar Tun Razak kerana tidak mahu melepaskan peluang berharga ini," katanya.

Warga emas S Batuumalai, 64, dari Putra Perdana berkata, dia yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal gembira dapat menukar topi keledar lama dimiliki.

"Pada mulanya saya datang ke sini untuk membayar saman sebelum diberitahu mengenai program ini. Saya gembira dapat menukar topi keledar.

"Saya tidak pernah tukar topi keledar yang dipakai sejak lebih empat tahun lalu. Program ini membantu saya berjimat kira-kira RM80 hingga RM90 kerana tidak perlu beli topi keledar baru," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Kuala Lumpur Azharul Izwan Puaadi berkata, pihaknya menyasarkan pengagihan 3,000 topi keledar selama tiga hari penganjuran program berkenaan.

Menurutnya, inisiatif itu dilakukan untuk menggalakkan orang ramai menukar topi keledar sekali gus mendedahkan kepada penunggang motosikal berhubung isu keselamatan.

"Topi keledar mempunyai had tempoh selama 10 tahun dan penunggang juga mesti memastikan topi keledar yang dipakai dalam keadaan baik termasuk span di bahagian dalam dan tali pengikat juga tidak longgar.

"Seeloknya dalam masa lima hingga enam tahun penunggang perlu melihat semula keadaan topi keledar mereka. Ini untuk memastikan mereka sentiasa menggunakan topi keledar yang selamat dan memenuhi ciri keselamatan," katanya memberitahu topi keledar itu habis dituntut dalam masa lebih sejam saja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 5:17 PM