MOHD Naim  (kanan) mengucapkan takziah kepada Zaim Ikhwan (dua dari kiri) dan isteri, Ismanira ketika menunggu proses bedah siasat jenazah anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHD Naim (kanan) mengucapkan takziah kepada Zaim Ikhwan (dua dari kiri) dan isteri, Ismanira ketika menunggu proses bedah siasat jenazah anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. FOTO Hairul Anuar Rahim
Muhaamad Hafis Nawawi dan Suhanna Iskandar


Sungai Buloh: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berharap insiden yang berlaku ke atas kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, menjadi pengajaran kepada ibu bapa dalam soal menitik berat keselamatan.

Mohd Na'im berkata, dalam kes Zayn Rayyan ini, walaupun ibunya sudah berhati-hati namun kejadian itu tetap berlaku.

"Sama seperti adik Zayn Rayyan, ibunya sangat berhati-hati jaga anak, namun apabila toleh sudah tiada.

"Kehilangan Zyan Rayyan ini membuka ruang untuk kita semua memberi perhatian kepada anak-anak OKU (orang kurang upaya) terutama mereka yang mempunyai masalah pembelajaran atau autisme.

"Semoga kita semua dapat belajar dari peristiwa ini dan memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak OKU dalam masyarakat kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga , Zayn Rayyan di perkarangan Bilik Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika sesi penggulungan di Dewan Negara pagi tadi, terdapat soalan berkaitan kanak-kanak istimewa serta OKU.

"Justeru, kita (kerajaan) berusaha memberikan yang terbaik kepada OKU mempunyai masalah pembelajaran dan autisme, sebagainya.

"Saya harap masyarakat semua cakna memberikan perhatian khususnya autisme yang perlu diberikan sokongan dan dokongan," katanya.

Beliau juga meminta pihak hospital supaya proses bedah siasat dilakukan dengan cepat bagi membolehkan keluarganya untuk menyempurnakan jenazahnya pada hari ini.

"Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini," katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada kedua ibu bapa Zayn Rayyan atas insiden yang menimpa mereka.

Terdahulu, Dr. Mohd Na'im meluangkan masa bersama keluarga Zayn Rayyan kira-kira 15 minit sebelum meninggalkan Jabatan Forensik di sini, pada 3.58 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:47 PM