NASIB Abu Ayesh masih menjadi tanda tanya susulan serangan besar-besaran tentera Israel terhadap selatan Gaza
NASIB Abu Ayesh masih menjadi tanda tanya susulan serangan besar-besaran tentera Israel terhadap selatan Gaza
Tuan Asri Tuan Hussein

Kuala Lumpur: "Ini mungkin mesej terakhir daripada saya…sekiranya saya terbunuh, pastikan Muslim Care Malaysia (MCM) mewakafkan al-Quran di atas nama saya dan keluarga saya. Ini permintaan saya."

Itu antara kandungan hantaran WhatsApp terakhir daripada Pengerusi MCM Palestin, Ahmed Abu Ayesh kepada rakan-rakan sekerja MCM di Malaysia pada Selasa (5 Disember) lalu.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya amat bimbang dengan keadaan Abu Ayesh yang gagal dihubungi sejak mesej terakhirnya itu diterima pada jam 12.30 tengah hari.

"Kami memohon rakyat Malaysia mendoakan keselamatan Abu Ayesh kerana sepanjang hampir dua bulan perang berlanjutan, beliau bekerja keras memastikan sumbangan rakyat Malaysia dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penduduk Gaza," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebelum ini Abu Ayesh berdepan dua insiden yang hampir meragut nyawanya.

"Pertama apabila rumah milik abangnya di Khan Younis musnah dibom, menyebabkan enam ahli keluarga beliau terkorban. Abu Ayesh turut cedera di kepala dan tangan akibat kejadian itu.

"Dalam kejadian kedua yang berlaku pada Ahad (3 Disember) lalu, rumah milik beliau sendiri dibom dan terbakar, namun beliau sempat menyelamatkan diri," katanya.

Zulkifli berkata, aktiviti utama Abu Ayesh dan pasukannya ialah menyediakan dan mengagihkan barangan keperluan kepada penduduk sekitar Gaza, terutama di Khan Younis.

"Abu Ayesh bersama pasukan sukarelawan MCM di Palestin yang bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan sudah melakukan aktiviti itu sejak hari keempat perang meletus iaitu bermula 11 Oktober lalu.

"Setiap hari beliau akan menyediakan makanan dan mengagihkannya untuk sekurang-kurang 2,500 orang.

"Ini bermakna, sudah lebih 150,000 orang mendapat manfaat daripada kerja kebajikan beliau," katanya.Menurutnya, Abu Ayesh dan pasukannya turut merakam video setiap aktiviti kebajikan dilakukannya atas nama MCM untuk dikongsi dengan rakyat Malaysia," katanya.

Zulkifli berkata, sejak peperangan Israel-Palestin tercetus pada 7 Oktober lalu, pihaknya sudah membelanjakan hampir RM1.5 juta untuk dibelanjakan oleh Abu Ayesh dan pasukan MCM Palestin bagi penyediaan dan agihan makanan.

"Untuk bantuan kepada rakyat Palestin, orang ramai boleh menyumbang kepada dana Bantuan Kecemasan Palestin atas nama Muslim Care Malaysia, nombor akaun 564490211159 (Maybank) dan 07016010077651 (Bank Islam)," katanya.

Hantarkan slip pindahan wang kepada talian Hotline MCM 011-50050035 atau kepada Zulkifli di talian 019-2518771.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 12:03 PM