SHIEKH Muridi Amin (kiri) menyalurkan bantuan kepada Zulkifli. FOTO ihsan Muslim Care Malaysia Society
SHIEKH Muridi Amin (kiri) menyalurkan bantuan kepada Zulkifli. FOTO ihsan Muslim Care Malaysia Society
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza memasuki hari ke-140 tanpa menampakkan petanda bakal berakhir dalam masa terdekat.

Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya sentiasa mengikuti rapat perkembangan terkini rakyat Palestin di Gaza yang terus ditindas dan dibunuh.

Menurutnya, bantuan makanan dan keperluan asas kepada penduduk Gaza tetap diusahakan walaupun berdepan halangan misi penghantaran terutama di sempadan Rafah.

"Wakil kami di Semenanjung Gaza terutama Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar terus gigih membantu penduduk di sana walaupun dalam keadaan serba kesempitan.

"Dia memberitahu krisis kebuluran semakin teruk terutama di kawasan tempat beliau berada di Khan Younis selatan Gaza. Tiada makanan dan minuman mencukupi.

"Mereka hanya makan sekali setiap 24 jam. Azab dialami cukup menyedihkan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, Abu Ayesh turut memberi perlindungan kepada 40 penduduk Palestin yang tinggal bersama di penempatannya.

"Mereka hidup dalam ketakutan setiap minit. Tentera Zionis berada terlalu dekat dengan lokasi mereka berlindung.

"Mereka boleh mendengar bunyi jentolak dan kereta kebal tentera Israel meranapkan bangunan selain pengeboman tanpa mengira masa," katanya.

Beliau berkata, MCM akan terus memastikan bantuan makanan dan keperluan asas lain dapat disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui pelbagai pendekatan.

Terbaru MCM menjalin kerjasama pertama dengan pertubuhan Aman Islamic Trust New Zealand membabitkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Alhamdulillah melalui pertemuan bersama Pengerusi Aman Islamic Trust New Zealand, Shiekh Muridi Amin di Auckland, New Zealand, pihaknya menyampaikan sumbangan USD12,424 (RM60,000) kepada MCM.

"Sumbangan itu khusus untuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang di ambang kebuluran.

"Aman Islamic Trust berhasrat menjadikan MCM sebagai rakan strategik dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan ke seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 10:01 PM