ZULKIFLI ditemui pada Majlis Iftar Amal Ramadan Muslim Care Malaysia. FOTO Aswadi Alias
ZULKIFLI ditemui pada Majlis Iftar Amal Ramadan Muslim Care Malaysia. FOTO Aswadi Alias
Noor Hidayah Tanzizi


Ampang: Peperangan di Gaza, Palestin yang berlanjutan lebih 160 hari sejak Oktober lalu turut menjejaskan Muslim Care Malaysia (MCM) yang kerugian RM7.5 juta apabila tiga aset badan bukan kerajaan (NGO) itu musnah dibedil rejim Israel.

Masjid Muhammad Al Amin yang siap dibina pada 2013 di Khan Younis, musnah dibom pada hari kedua serangan dan selang dua minggu kemudian, ruang tambahan di Kompleks Imigresen Rafah yang dibina MCM hasil sumbangan rakyat Malaysia turut musnah dibom tentera Zionis.

Selain itu, turut musnah ialah Pusat Fisioterapi Enaya yang dibina dengan kerjasama beberapa NGO lain dari Malaysia manakala Kompleks Wakaf Palestin iaitu bangunan komersial di tengah bandar Gaza turut mengalami kerosakan teruk.

Presiden MCM Zulkifli Wajihan berkata, tiga aset itu musnah akibat serangan rejim Israel dan kini hanya tinggal satu aset yang boleh digunakan dan dibaiki semula.

"Aset yang musnah ialah masjid, kompleks imigresen dan pusat fisioterapi membabitkan (kerugian) RM7.5 juta manakala satu aset yang masih boleh dibaiki iaitu kompleks perniagaan (Kompleks Wakaf Palestin). Ketika ini kita membantu mereka daripada kebuluran, kita banyak salurkan makanan.

"Apabila keadaan kembali aman, kita akan bina semula apa yang sudah musnah dengan sokongan rakyat Malaysia khususnya dan seluruh dunia," katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Amal Ramadan (Palestin, Syria dan Yaman) di sini, malam tadi.

Turut hadir, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga penasihat MCM dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Zulkifli berkata, pihaknya sudah menyalurkan RM3 juta kepada Gaza sepanjang Oktober lalu hingga kini dengan sebahagian besarnya untuk agihan makanan kepada rakyat Palestin di wilayah bergolak itu.

Mengenai majlis iftar berkenaan, beliau berkata, ia untuk membantu tiga negara yang sedang bergolak ketika ini iaitu Palestin, Syria dan Yaman dengan menyasarkan dana sebanyak RM5 juta.

Menurutnya, melalui sumbangan itu, sebanyak 60 peratus akan disalurkan kepada Gaza yang terjejas teruk akibat serangan ganas Israel manakala masing-masing 20 peratus untuk Syria dan Yaman.

"Alhamdulillah majlis iftar mendapat sambutan menggalakkan dengan sumbangan terkumpul mencecah RM2 juta. Kita perlukan RM3 juta untuk mencapai sasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 2:37 PM