FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Dua badan bertindak yang mewakili mangsa sisa toksik Sungai Kim Kim akan mengadakan pertemuan bersama kesemua mangsa yang diwakili mereka, minggu hadapan.

Pertemuan itu bagi memperincikan tindakan saman sivil yang akan diambil selain mempersiapkan mangsa dengan data yang diperlukan apabila kes itu dibawa ke mahkamah.

Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Kes Sisa Toksik Sungai Kim-Kim, Mohd Rafee Abdullah, berkata beliau bersama beberapa mangsa akan mengadakan mesyuarat secara dalam talian bersama peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, esok.

"Ia sebagai persiapan awal sebelum pertemuan bersama kesemua 200 mangsa yang dijadualkan minggu depan.

"Insya-Allah, kami juga akan mengadakan sidang media khas bersama peguam dan mangsa selepas pertemuan itu," katanya.

Hari ini, lebih 400 penduduk, termasuk pelajar di dua kampung berhampiran Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang di sini, bercadang memulakan saman sivil terhadap pihak yang mempunyai kaitan dengan pencemaran sisa toksik sehingga menyebabkan lebih 2,000 penduduk terkesan lima tahun lalu.

Mereka berpendapat mempunyai asas yang kuat susulan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Khamis lalu yang menjatuhkan hukuman terhadap pencemar sungai itu yang disifatkan tidak setara dengan penderitaan yang ditanggung penduduk.

Dalam pada itu, Mohd Khairul Azam yang bakal mewakili mangsa Badan Bertindak Penduduk Kes Sisa Toksik Sungai Kim-Kim berkata, mesyuarat dalam talian esok bagi memperincikan jumlah mangsa selain kerugian yang dialami.

"Mangsa juga akan diminta menyedia dan mengumpul semula semua dokumen dan laporan perubatan berkaitan tragedi itu apatah lagi kes ini sudah lima tahun berlalu. Selepas itu, minggu depan kami akan bertemu secara bersemuka di Pasir Gudang," katanya.

Sementara itu, peguam kepada Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik, Kamarudin Ahmad, berkata pertemuan khas bersama kesemua 160 mangsa diwakilinya akan diadakan pada 16 Disember ini.

"Pertemuan bersama diadakan bagi membincangkan mengenai prosiding saman sivil kami yang bakal berlangsung 22 hingga 25 Januari ini.

"Beberapa perincian perlu dibuat termasuk keterangan mangsa sebagai persediaan prosiding itu. Kami juga akan mengadakan sidang media sejurus pertemuan bersama mangsa selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 4:21 PM