KAMARUDDIN (kanan) memberi taklimat kepada mangsa dan keluarga sisa toksik Sungai Kim Kim. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KAMARUDDIN (kanan) memberi taklimat kepada mangsa dan keluarga sisa toksik Sungai Kim Kim. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Pasir Gudang: Seorang mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim yang kini berusia 12 tahun, menderita masalah sesak nafas kronik selepas tragedi itu berlaku.

Ibu kepada Ahmad Nabil Azlan, Suzana Suarno, 44, berkata, sebelum tragedi itu melanda anaknya seorang yang aktif dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan terutama isu pernafasan.

Namun katanya, selepas anaknya pengsan di sekolah apabila terhidu sisa toksik Sungai Kim Kim pada 2019 ketika berusia lapan tahun, kesihatan anak keduanya itu terus merosot.

"Selepas tragedi itu, Ahmad Nabil terpaksa tidur dengan tiga bantal di kepala atau tidur dalam keadaan duduk. Jika tidak, dia mengadu tidak dapat bernafas dan takut untuk tidur.

"Adalah sesuatu yang tidak normal untuk kanak-kanak seusianya berhadapan masalah itu apatah lagi badannya juga kurus dan kecil saja.

"Saya sebagai ibu sangat sedih melihat dia terseksa untuk tidur dan lebih selesa tidur dalam keadaan duduk sebab sukar untuk bernafas," katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas taklimat peguam, Datuk Kamaruddin Ahmad kepada mangsa tragedi berkenaan di sini, hari ini.

Mengimbau semula detik hitam tragedi sisa toksik itu, Suzana berkata, kejadian yang berlaku pada Mac 2019 ketika anaknya di Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort di sini. "Ketika tragedi itu, saya ambil masa selama enam jam untuk mencari Ahmad Nabil di pusat rawatan sementara dan hospital. Memang ketika itu keadaannya sangat huru-hara sebab kami ibu bapa tidak mendapat maklumat di mana anak kami yang terjejas dihantar.

"Selepas enam jam barulah saya mendapat panggilan telefon daripada Hospital Sultan Ismail (HSI) yang memaklumkan Ahmad Nabil terpaksa dirawat di wad kerana pengsan terhidu sisa toksik berbahaya.

"Selepas lima tahun berlalu, anak saya yang aktif sukan kini menjadi lebih pendiam dan tidak berdaya malah sehingga hari ini, dia masih lagi mendapatkan rawatan pakar Telinga, Hidang dan Tekak (ENT) di HSI," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, yang menghidap Myokymia akibat tragedi pencemaran itu, melahirkan rasa lega, susulan prosiding perbicaraan kes saman sivil akan bermula tidak lama lagi.

"Sebenarnya saya masih sakit seperti dulu dan belum sembuh selepas tragedi Kim Kim berlaku ketika saya berusia 12 tahun.

"Keadaan kaki saya masih sama namun saya kini dapat membiasakan diri menggunakan tongkat. Walaupun susah tetapi saya perlu teruskan hidup dan laluinya dengan sokongan ibu, ayah dan keluarga,

"Saya amat berharap kes saman sivil ini dapat membela penderitaan kami mangsa-mangsa tragedi itu" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 6:07 PM