KAMARUDDIN bersama keluarga mangsa selepas prosiding perbicaraan kes saman sivil RM30 juta yang difailkan Jawatankuasa Bertindak Mangsa dan Keluarga Gas Toksik Sungai Kim Kim terhadap 12 defenden termasuk kerajaan Johor.  FOTO Nur Aisyah Mazalan
KAMARUDDIN bersama keluarga mangsa selepas prosiding perbicaraan kes saman sivil RM30 juta yang difailkan Jawatankuasa Bertindak Mangsa dan Keluarga Gas Toksik Sungai Kim Kim terhadap 12 defenden termasuk kerajaan Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kesemua 42 plaintif kes sisa toksik diperintahkan memberi keterangan dalam kes saman sivil mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim, membabitkan 12 defendan termasuk Kerajaan Malaysia dan kerajaan Johor.

Peguam kes berkenaan, Datuk Kamarudin Ahmad berkata, arahan itu ditetapkan Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim dalam perbicaraan hari pertama saman sivil kes berkenaan.

Kamarudin berkata, pada mulanya pihak pembelaan hanya menghantar nama tujuh mangsa untuk memberi keterangan mewakili 42 plaintif kes itu.

"Namun hakim memerintahkan supaya kesemua 42 plaintif atau mangsa kes ini memberikan keterangan mereka kepada mahkamah.

"Hari ini hanya Idham Wazir A Wahab, bapa kepada Irfan Wafiy, 17, pelajar yang menderita Myokymia memberi keterangan mewakili anaknya itu. Beliau adalah plaintif pertama memberi keterangan.

"Oleh itu, mahkamah hari ini menetapkan menetapkan perbicaraan disambung semula pada 2 Jun, 18 dan 19 Ogos serta 14 dan 15 Oktober depan, bagi membolehkan kesemua 41 plaintif memberi keterangan mereka," katanya ketika ditemui selepas prosiding hari pertama kes berkenaan.

Kejadian pencemaran sisa toksik kimia pada 13 Mac 2019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim.

Insiden pada 7 Mac itu mengejutkan negara apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).

Pada 17 Julai tahun lalu, pihak mangsa yang memfailkan saman sivil itu berjaya menafikan permohonan defendan, P Tech Resources Sdn Bhd untuk mengenepikan saman sivil yang mula difailkan pada Julai 2019.

Pada 30 November lalu, seorang pemandu lori dilaporkan didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019

JAS turut memaklumkan syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.

Sementara itu, ditanya jika 12 defendan kes itu mahu menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah, Kamarudin berkata, pihaknya sentiasa terbuka terhadap penyelesaian sebegitu.

Katanya, pihaknya masih menantikan maklum balas Pejabat Menteri Besar berhubung perkara itu susulan ada menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Jika defendan bersetuju menyelesaikan kes ini di luar mahkamah, pihak kami akan memaklumkannya pada prosiding akan datang," katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik dilaporkan akan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada 12 defendan termasuk Kerajaan Malaysia, Kerajaan Johor dan Menteri Besar.

Ganti rugi itu membabitkan ganti rugi am dan khas, selain ganti rugi membabitkan tuntutan ke atas Irfan Wafiy mangsa paling teruk terjejas yang kini menderita Myokimia menyebabkan sarafnya terganggu dan terpaksa bergantung pada tongkat, akibat kesan pencemaran sisa toksik pada Mac 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 6:33 PM