AHMAD Zahid, gambar fail. FOTO NSTP
AHMAD Zahid, gambar fail. FOTO NSTP
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Majlis Peguam sudah memfailkan semakan kehakiman untuk menyemak kuasa dan keputusan Peguam Negara mengeluarkan perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) berhubung kes dihadapi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkait Yayasan Akalbudi.

Dalam satu kenyataan hari ini, presidennya Karen Cheah berkata, ia memohon suatu certiorari untuk membatalkan keputusan bekas Peguam Negara Tan Sri Idris Harun pada 4 September lalu, berhubung permohonan DNAA oleh Ahmad Zahid.

Katanya, pihaknya juga mahu mahkamah mengisytiharkan keputusan Peguam Negara itu batal dan tidak sah serta melampaui kuasanya, mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

"Selepas mempertimbangkan secara panjang lebar fakta dan kedudukan kes Ahmad Zahid, badan peguam mengambil jalan perundangan ini sebagai sebahagian kewajipan berkanunnya untuk menegakkan keadilan, tanpa dipengaruhi sebarang ketakutan atau sokongan.

"Badan peguam berpandangan budi bicara peguam adalah tidak mutlak, seperti yang ditetapkan oleh Perkara 145(3) Perlembagaan dan harus terbatas serta boleh dihakimi oleh mahkamah," katanya dalam kenyataan.

Pada 3 September lalu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Bagaimanapun, peguam bela Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon supaya Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan kerana ia tidak adil kepada anak guamnya berikutan tuduhan ke atasnya 'tergantung' tanpa ada kepastian.

Sebelum ini, Ahmad Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagi tuduhan pecah amanah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau juga dituduh menerima suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Bagi 27 pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid didakwa membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 6:44 PM