NUR Solehah Humairah didiagnosis penyakit 'osteofibrous dysplasia'. FOTO Ihsan Nurhazwani Shafawati Mat Roslan.
NUR Solehah Humairah didiagnosis penyakit 'osteofibrous dysplasia'. FOTO Ihsan Nurhazwani Shafawati Mat Roslan.
Noor Hidayah Tanzizi


Puncak Alam: "Ummi, Alhamdulillah kaki kakak dah gerak," itu luahan penuh syukur dalam jeda tangis Nur Solehah Humairah Mohamad Mazlan yang juga pesakit 'osteofibrous dysplasia'.

Nur Solehah Humairah, 7, yang mesra disapa Solehah atau kakak didiagnosis penyakit jarang berlaku yang menyebabkan masalah pada tulang tibia menjadikan kaki kanak-kanak itu membengkok dan tidak boleh berjalan dengan sempurna.

Video anak sulung daripada empat beradik yang meluahkan rasa bersyukur apabila kaki kanannya boleh digerakkan semula selepas tiga hari menjalani pembedahan kali keempat pada 1 November lalu meruntun hati netizen di TikTok.

Ibunya, Nurhazwani Shafawati Mat Roslan, 33, berkata, ketika berusia dua tahun anaknya mempunyai masalah kaki apabila tidak boleh berjalan sebelum pemeriksaan doktor mendapati ada tompokan pada tulang kaki dan dirujuk ke hospital lain.

Menurutnya, Nur Solehah Humairah didiagnosis penyakit itu ketika berusia tiga tahun selepas menjalani beberapa ujian dan pembedahan pertama setahun selepas itu bagi membuang tulang kaki yang bermasalah itu.

"Pembedahan itu turut menggantikan tulang kaki kakak namun penyambungan di bahagian bawah tidak bercantum dengan baik menyebabkan kaki anak saya membengkok dan jalannya juga tidak sempurna seperti kanak-kanak lain.

"Sejak berusia empat tahun sudah empat kali anak menjalani pembedahan kaki dengan terbaru pada awal bulan lalu untuk memasang kerangka besi baru dan meluruskan kakinya semula di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," katanya.

Akauntan swasta itu berkata, kaki anak tidak dapat digerakkan selepas menjalani pembedahan kerana masih ada kesan ubat bius menyebabkan Nur Solehah Humairah berasa agak sedih.

"Kakak terlalu gembira apabila kakinya dapat digerakkan dan merakam video itu untuk diberikan kepada suami dan turut dikongsikan di TikTok sebagai kenangan kami.

"Anak dirawat di hospital selama seminggu sebelum dibenarkan pulang.

"Kakak seorang anak yang kuat namun selepas pembedahan keempat ini dia menjadi agak sensitif mungkin kerana sudah banyak kali menjalani pembedahan," katanya yang menetap di Rentak Perdana, di sini.

Katanya, dalam kekuatan anaknya itu, terselit juga rasa sedih dan rendah diri selain mengakui anak kesayangannya itu juga kurang gemar menggunakan kerusi roda, malah kadang-kadang sebelum tidur akan bertanya kenapa kakinya begitu.

"Saya hanya mampu memujuk dengan mengatakan semua ini adalah ujian Allah SWT tidak semua orang dapat kerana Allah sayang dia serta dia terpilih untuk melaluinya dan selepas itu semangatnya kembali baik," katanya.

Menurutnya, sebagai ibu dia berharap anak kembali sembuh dan dapat menjalani kehidupan dan menikmati zaman kanak-kanak seperti rakan seusianya.

Katanya, dia juga menyedari Nur Solehah Humairah juga mempunyai keinginan untuk bermain bersama rakan, namun keadaan kaki kanak-kanak itu memaksanya mengawal aktiviti anak kerana dia tidak boleh terlalu aktif.

"Kakak juga mempunyai impian dan dia cakap mahu bermain kasut roda serta bermain dan berlari dengan rakan apabila sudah sihat nanti.

"Ketika di sekolah juga dia tidak menyertai aktiviti lasak dan hanya memberi sokongan pada rakan saja," katanya berterima kasih dengan sokongan dan doa netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 12:03 PM