OSMAN yang cedera dihempap pokok tumbang diberi rawatan awal. FOTO ihsan Mohd Ezham Mat Yusof
OSMAN yang cedera dihempap pokok tumbang diberi rawatan awal. FOTO ihsan Mohd Ezham Mat Yusof
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: "Ketika kejadian abang ipar sedang merapikan tanah kubur bayinya sebelum tiba-tiba saya terdengar orang menyuruh kami lari kerana ada bunyi pokok tumbang," kata Mohd Ezham Mat Yusof, 35.

Mohd Ezham adalah adik ipar, Osman Mail, 40, yang cedera selepas dihempap pokok kelapa sawit yang tumbang di tanah perkuburan di Jalan Parit 1, Chenderong Balai, di sini, semalam.

Ketika kejadian mereka baru mengebumikan bayi perempuan Osman yang meninggal dunia dalam kandungan berusia lapan bulan, Ahad lalu.

Menceritakan kembali kejadian itu, Mohd Ezham berkata, kakaknya, Siti Zuriah Mat Yusof, 37, melahirkan bayi perempuan yang sudah meninggal dunia dalam kandungan secara pembedahan dan selesai pada 4 petang semalam sebelum dia bersama abang iparnya menguruskan jenazah.

Menurutnya, mereka ke tanah perkuburan pada 8.30 malam dan melihat ada dua pokok kelapa sawit yang sudah dibakar di bahagian pangkal dengan satu pokok sudah tumbang.

"Ketika kejadian kami sudah selesai kebumikan jenazah, cuma abang ipar mahu merapikan tanah kubur anaknya dan tiba-tiba ada bunyi pokok mahu tumbang.

"Kejadian berlaku pantas. Ada orang sempat mengelak dan saya sempat mengelak selangkah saja, manakala abang ipar pula tidak sempat elak sebelum pokok itu menghempapnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan abang iparnya patah tulang bahu kiri, cedera pada tulang pinggul dan pendarahan di buah pinggang, manakala dia pula hanya calar di kaki selepas turut terkena serpihan pokok tumbang itu.

Katanya, pokok berkenaan jatuh di tepi kubur tetapi tidak menjejaskan kubur anak saudaranya.

"Abang ipar pengsan sekejap kira-kira tiga minit dan apabila sedar, dia mengadu sakit di pinggang selain turut menanyakan tiga anak berusia lima hingga 13 tahun yang ada di situ ketika kejadian.

"Kakak juga sudah tahu keadaan abang dan dia sangat sedih, kami tenangkan dia kerana tidak mahu emosinya terganggu kerana masih dalam pantang dan abang ipar juga risaukan isteri dan anaknya ditambah keadaan dirinya ketika ini," katanya.

Mohd Ezham berkata, kakak dan abang iparnya masih dirawat di Hospital Teluk Intan dan pihak hospital memaklumkan Osman yang berkerja sebagai pemandu lori sawit akan menjalani Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

"Ini dugaan berat untuk keluarga kakak apabila kehilangan bayi perempuan dan abang ipar pula cedera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 3:18 PM