ZALIDA bersama Azalea yang melecur 78 peratus pada keseluruhan tubuh badannya  akibat terkena sambal popia basah yang mendidih di rumah ibu saudaranya. FOTO Eizairi Shamsudin
ZALIDA bersama Azalea yang melecur 78 peratus pada keseluruhan tubuh badannya akibat terkena sambal popia basah yang mendidih di rumah ibu saudaranya. FOTO Eizairi Shamsudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Selepas hampir lima tahun tragedi terkena sambal popia basah yang mendidih, seorang kanak-kanak perempuan terpaksa berdepan dengan ejekan rakan akibat keadaan fizikalnya tidak sempurna.

Ia termasuk digelar sebagai budak cacat dan hodoh oleh rakan sekolahnya kerana terdapat parut hampir seluruh badannya kecuali muka.

Itu situasi dialami Azalea Hani Abdul Rahim, 10, yang juga dikenali sebagai budak popiah disebabkan insiden yang berlaku di rumah ibu saudaranya di Bandar Tasik Puteri, Rawang pada 7 Februari 2019.

Menurut ibu Azalea, Zalida Syuhana Ahmad Tamam, 48, anak bongsu daripada tiga beradik itu selalu meluahkan kekecewaan dengan ejekan rakan sekolahnya.

"Azalea pernah cakap ada kawan (sekolah) dia beritahu dia budak cacat dan hodoh. Saya selalu beritahu bahawa dia adalah istimewa kerana dijadikan sebegitu.

"Saya tahu kawan dia tak ada niat nak cakap perkara buruk kepada Azalaea sebab mereka masih kanak-kanak lagi, namun jauh di sudut hati, saya memang sedih melihatnya begitu," katanya ketika ditemui di sini.

Zalida berkata, sejak hari kejadian itu sehingga kini, anaknya masih perlu menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) dengan pembedahan kali terakhir dijalaninya pada Julai tahun lalu.

"Dianggarkan sudah hampir 20 kali Azalea menjalani pembedahan bagi menggantikan kulitnya yang melecur tahap tiga dengan peratusan melecur 78 peratus badannya akibat kejadian itu.

"Kejadian itu juga menyebabkan kaki Azalea pada sebelah kiri lebih pendek dan dia terpaksa jalan berjengket.

"Bahagian perutnya pula kelihatan berlapis akibat banyak pembedahan dilakukan.

"Doktor beritahu bahawa Azalea terpaksa menjalani pembedahan sehingga dia besar nanti kerana ada banyak lagi rawatan perlu dilakukan," katanya.

Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata, kakaknya kerap meminta maaf atas insiden menimpa Azalea yang berlaku di rumahnya.

"Kakak sehingga kini masih trauma dengan apa yang berlaku terhadap Azalea sehingga dia berhenti membuat popiah basah.

"Dia selalu minta maaf pada saya meskipun saya tidak pernah menyalahkannya.

"Bukan sahaja kakak, Azalea juga pada mulanya trauma sehingga dia menjadi takut apabila melihat sambal. Apa yang berlaku ini, saya anggap sudah ketentuan Ilahi," katanya.

Dia menegaskan bahawa tragedi yang menimpa anaknya itu bukan disebabkan kecuaian kerana langkah berjaga-jaga sudah diambil ketika hari kejadian.

"Meskipun ibu dan kakak sudah menutup pintu di bahagian dapur, tetapi perkara itu (sambal tumpah) berlaku juga.

"Walaupun saya tiada di lokasi ketika kejadian, saya sendiri trauma sehinggakan anak-anak tidak dibenarkan langsung berada di dapur.

"Saya berasa serba salah apabila Azalea agak ketinggalan dalam pelajaran ketika di tahun satu dan dua kerana kebanyakan masa dia berada di hospital atau rumah disebabkan perlu menjalani pembedahan mahupun rawatan susulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 7:00 AM