Penderma organ tertua di Sabah, mendiang Selvaraju Shanmugam @ SSR Raju menderma sepasang mata kepada dua pesakit di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
Penderma organ tertua di Sabah, mendiang Selvaraju Shanmugam @ SSR Raju menderma sepasang mata kepada dua pesakit di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seorang warga emas berumur 83 tahun menjadi penderma organ tertua di Sabah selepas meninggal dunia akibat komplikasi jantung, baru-baru ini.

Penderma terbabit, Selvaraju Shanmugam @ SSR Raju memberikan sepasang matanya untuk membantu dua orang pesakit yang memerlukan pendermaan mata atau kornea.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna berkata, proses pendermaan organ itu dilakukan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini.

Katanya, walaupun mendiang tidak berdaftar sebagai penderma organ tetapi warga emas itu pernah memaklumkan hasratnya kepada ahli keluarga untuk mendermakan organ.

"Pihak keluarga mendermakan sepasang kornea (mata) yang membantu dua orang pesakit lain mendapat sinar baharu dalam kehidupan mereka.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas anugerah kehidupan yang diberikan.

"Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebelum ini, Dr Asits berkata, JKNS merekodkan penderma organ berumur 80 tahun pada 2018, manakala penderma termuda berumur setahun empat bulan pada 2008.

Setakat Oktober tahun ini, katanya seramai 33 penderma organ kadaverik atau yang menderma organ setelah meninggal dunia direkodkan di Sabah.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyeru orang ramai untuk mendaftar sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera dan maklumkan hasrat murni itu kepada ahli keluarga terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 8:39 AM