KAKITANGAN Hospital Queen Elizabeth memberi penghormatan terakhir sebelum memulakan proses pendermaan organ. (Foto kecil) Jonathan Ho. FOTO ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
KAKITANGAN Hospital Queen Elizabeth memberi penghormatan terakhir sebelum memulakan proses pendermaan organ. (Foto kecil) Jonathan Ho. FOTO ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seorang pakar pengaturcaraan komputer yang meninggal dunia akibat masalah kesihatan baru-baru ini menjadi penderma organ kesembilan direkodkan di Sabah tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna, berkata, mendiang Jonathan Ho, 47, dari Kampung Tuunon Kolopis, Penampang, dekat sini mendermakan sepasang matanya kepada dua pesakit atas persetujuan keluarga, baru-baru ini.

Beliau berkata, keluarga mendiang bersetuju mendermakan organ berkenaan selepas disahkan masih sesuai dan boleh membantu memulihkan penglihatan pesakit yang memerlukan.

"Pendermaan ini membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, mendiang Jonathan Ho yang disahkan meninggal dunia akibat masalah perubatan.

"Pihak keluarga bersetuju mendermakan sepasang kornea (mata) selepas dimaklumkan ia masih sesuai dan boleh membantu memulihkan penglihatan pesakit yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Asits berkata, mendiang adalah seorang graduan ijazah dalam bidang sistem maklumat komputer dari Hawaii Pacific University, Honolulu, Amerika Syarikat pada 1999 sebelum menjadi pakar dalam pengaturcaraan komputer.

"Ketika hayatnya, mendiang aktif dalam persatuan pengaturcaraan dan sering terbabit sebagai penceramah jemputan dalam bengkel berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membantu komuniti di Sabah menerokai dengan lebih mendalam bidang berkenaan.

"Ahli keluarga menyifatkan mendiang sebagai seorang yang mesra, periang dan sentiasa ingin membantu golongan yang memerlukan tanpa ragu-ragu.

"Ahli keluarga berasa bersyukur selepas dimaklumkan bahawa kornea yang didermakan telah berjaya ditransplan kepada dua orang pesakit di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan berharap agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 8:48 PM