DR Hilmi (tengah) bersalaman dengan peserta Forum Pendermaan Organ Dari Perspektif Islam, semalam.
DR Hilmi (tengah) bersalaman dengan peserta Forum Pendermaan Organ Dari Perspektif Islam, semalam.

Putrajaya: Seorang penderma organ boleh membantu sehingga 40 pesakit apabila seluruh organ dan tisu kadaverik didermakan kepada golongan memerlukan selepas mereka meninggal dunia.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, pendermaan organ yang boleh dimanfaatkan kepada pesakit adalah seperti kornea, buah pinggang, paru-paru, tulang, jantung serta kulit.

Menurutnya, berdasarkan statistik sehingga 30 September lalu, 266,583 individu berikrar untuk mendermakan organ selepas kematian iaitu mewakili hanya 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.

"Mengikut rekod, 131,567 penderma atau 49.35 peratus daripada kaum Cina, 62,937 atau 23.61 peratus India, 62,318 atau 23.38 peratus penderma Melayu manakala,9,761 atau 3.66 peratus lain-lain bangsa.

"Selain itu, 482 penderma organ dan tisu kadaverik selepas meninggal dunia berdasarkan statistik sehingga 30 September lalu," katanya kepada pemberita pada Forum Pendermaan Organ Dari Perspektif Islam, di sini, semalam.

Dr Hilmi berkata, mengikut penderma, mereka terdiri daripada 284 penderma kaum Cina diikuti 130 India, 28 Melayu manakala 40 penderma lain-lain kaum.

"Bagi jumlah pesakit sedang menunggu organ, 18,493 pesakit direkodkan di seluruh negara membabitkan 18,418 pesakit buah pinggang, 12 pesakit (tujuh dewasa dan lima kanak-kanak) pesakit hati dan lima pesakit jantung.

"Seterusnya, enam pesakit paru-paru serta tiga pesakit jantung dan paru-paru," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui Malaysia masih kekurangan pakar dalam menjalankan operasi pemindahan organ di negara ini.

"Justeru, kita akan melatih lebih ramai pakar dan setakat ini, operasi pemindahan organ itu hanya dijalankan hospital seperti Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Institut Jantung Negara (IJN)," katanya.

Mengenai forum Pendermaan Organ Dari Perspektif Islam Dr Hilmi berkata, ia adalah anjuran Kementerian Kesihatan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta beberapa agensi lain bertujuan memberi kefahaman mengenai pendermaan organ.

"Derma organ ini seperti derma darah dan apa yang penting, kita mahu memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai perkara ini.

"Saya berharap dengan adanya forum seperti ini dapat menggalakkan lebih ramai untuk berikrar sebagai penderma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:17 AM