Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Peningkatan permintaan terhadap dadah jenis methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baharu atau New Psychoactive Substances (NPS) di pasaran Asia membimbangkan polis.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kewujudan dadah itu menjurus kepada pembabitan kalangan belia.

"Pada 2009, terdapat 130 jenis dadah termasuk NPS tetapi pada tahun 2019 terdapat peningkatan iaitu sebanyak 892 jenis dadah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Program Projek Perintis Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah Substan dan Pelencongan Sosial di Dewan Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi dekat sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin.

Sementara itu, menurutnya, sebanyak 10 peratus daripada 14,000 jumlah tangkapan dadah pada tahun ini adalah kategori penagih berulang.

Katanya, sehingga kini seramai 509 sudah dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39 (C) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman penjara mandatori selama lima tahun.

"Pada April lalu, terdapat peningkatan daripada segi penangkapan mengikut Seksyen 39 (C) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kebanyakan kes jenayah seperti pecah rumah, rompak mahupun samun adalah membabitkan penagih dadah," katanya.

DATUK Ayob (dua dari kanan) melawat pameran yang diadakan sebelum  merasmikan Majlis Projek Rintis Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah Substan dan Pelencongan Sosial. FOTO Zain Ahmed
DATUK Ayob (dua dari kanan) melawat pameran yang diadakan sebelum merasmikan Majlis Projek Rintis Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah Substan dan Pelencongan Sosial. FOTO Zain Ahmed

Menurutnya, penyalahgunaan dadah juga terletak pada angka membimbangkan terutama membabitkan golongan pelajar dan belia berusia antara 16 hingga 25 tahun.

"Seramai 177 pelajar di negeri itu dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah menerusi saringan awal air kencing yang dijalankan.

"Usaha berterusan oleh kerajaan perlu untuk menangani isu penyalahgunaan dadah yang berleluasa dalam kalangan masyarakat.

"Program seumpama ini dijadikan model untuk diperluaskan ke seluruh negara sejajar dengan matlamat dasar dadah negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:53 PM