GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sebanyak 1,377 kes jenayah komersial membabitkan kerugian RM158 juta direkodkan di Johor sepanjang tahun ini sehingga Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 1,310 kes dengan jumlah kerugian RM68 juta.

Katanya, kes penipuan adalah yang tertinggi direkodkan iaitu 1,242 kes manakala penipuan ceti haram atau along di tempat kedua dengan 66 kes dan pecah amanah 32 kes.

"Ini diikuti jenayah siber (27 kes); pemalsuan (empat kes); salah guna harta (dua kes); wang palsu (satu kes) dan selebihnya lain-lain kes.

"Pecahan kerugian kes jenayah komersial bagi tempoh itu pula membabitkan penipuan (RM139 juta); pecah amanah (RM18 juta); jenayah siber (RM545,470); kegiatan along (RM349,321) dan salah guna harta (RM49,000)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Pencegahan Jenayah dan Bual Bicara Ketua Polis Johor Bersama Pengusaha Kilang serta Wakil Komuniti Daerah Seri Alam di Dewan Serbaguna Taman Mawar di sini hari ini.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, polis juga menasihati pengurusan syarikat supaya berwaspada dengan pelbagai modus operandi sindiket penipuan.

Beliau berkata, dua syarikat swasta tempatan menanggung kerugian RM1.5 juta diperdaya oleh sindiket penipuan antarabangsa yang menyamar sebagai pembekal barangan baru-baru ini.

Menurutnya, mereka terpedaya dengan modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan iaitu membuat penyamaran sebagai pembekal barangan yang wujud.

Menurutnya, sindiket berkenaan menghantar emel bagi menyatakan pembekal barangan sudah mengubah nombor akaun bank dan meminta segala transaksi kewangan dilakukan ke akaun bank baharu.

Katanya, tanpa mendapatkan maklumat lanjut, syarikat tempatan bertindak memindahkan wang sebelum menyedari wang berkenaan tidak diterima syarikat pembekal barangan.

"Secara keseluruhannya tiga syarikat terpedaya namun transaksi pemindahan wang daripada sebuah syarikat iaitu sejumlah RM950,000 berjaya disekat selepas mereka segera membuat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 4:40 PM