SHUHAILY pada sidang media di Bukit Aman.  FOTO Hazreen Mohamad
SHUHAILY pada sidang media di Bukit Aman. FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Polis Antarabangsa (Interpol) berkaitan kes ancaman bom palsu di beberapa sekolah di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes itu turut membabitkan jenayah siber.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan dalam tindakan kerjasama dari Jamaica, Trinidad Tobago serta FBI dan Interpol untuk mengesan pautan email ancaman terbabit.

"Siasatan juga dijalankan untuk kenal pasti motif selain usaha untuk kesan pelaku.

"Berdasarkan laporan polis dibuat, kesemua emel dihantar oleh penghantar dengan domain sama iaitu 'beeble.com' menggunakan nama 'Taktstorer' iaitu bahasa Jerman yang membawa maksud pengganggu ketenteraman," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd Suhaily berkata, 'beeble.com' adalah penyedia emel privasi end-to-end encryption yang disediakan Sikneco Technologies LTD dan didaftarkan di Republik Cyprus.

"Emel ancaman yang sama pernah dihantar ke beberapa sekolah di Jamaica pada 12 November lalu yang menggunakan penyedia sistem emel sama dengan nama akaun berbeza.

"Polis setakat ini menerima 51 laporan berhubung ancaman bom palsu di seluruh negara sejak Selasa lalu sehingga hari ini," katanya.

Beliau berkata, laporan polis diterima itu membabitkan 18 di Selangor, Kuala Lumpur (7), Johor (6), Negeri Sembilan (3), Pulau Pinang (4), Sarawak (5), Perak (3), Sabah (2) dan Kedah (3),"

"Laporan polis diterima di sembilan negeri itu membabitkan 32 sekolah antarabangsa, swasta (15) dan bantuan kerajaan (4).

Beliau berkata, penambahan jumlah laporan itu berkemungkinan penerima atau pihak sekolah lewat membaca emel ancaman bom palsu berikutan siasatan polis mendapati emel berkenaan disebarkan pada waktu sama.

"Kita memandang serius perkara ini, PDRM akan memantau keselamatan setiap sekolah yang menerima ancaman itu

"Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 12:47 PM