ASISTEN Komisioner Ahsmon Bajah. FOTO Mohd Roji Kawi
ASISTEN Komisioner Ahsmon Bajah. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi dan Ahmad Hasbi


Kuching: Polis menerima empat laporan ancaman bom masing-masing di dua sekolah di bandar raya ini dan Negeri Sembilan, hari ini.

Di Sarawak, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, satu daripada panggilan diterima sekolah antarabangsa manakala satu lagi di sekolah menengah kebangsaan.

Menurutnya, ancaman itu diterima menerusi mesej yang dihantar individu tidak dikenali ke emel rasmi kedua-kedua sekolah terbabit.

"Sejurus menyedari ancaman itu, polis bersama pihak sekolah segera mengosongkan premis sekolah.

"Bagi memastikan keselamatan semua pelajar dipindahkan ke lokasi lain," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, tindakan pembersihan keselamatan bom dijalankan dengan rapi di semua sudut dalam sekolah terbabit oleh beberapa elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan rapi tiada sebarang bentuk ancaman bom dikesan.

"Siasatan lanjut mendapati emel ancaman itu adalah palsu berikutan tiada bukti adanya unsur risiko bom di dua sekolah itu," katanya.

Sementara itu, dua lagi sekolah masing-masing di Seremban dan Port Dickson menerima emel ancaman bom, petang tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ancaman berkenaan dihantar melalui emel sama iaitu [email protected] membabitkan tiga sekolah termasuk di Rembau, semalam.

"Unit Pemusnah Bom (UPB) diarah ke ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan sekolah mengosongkan premis sementara siasatan dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan di lokasi tidak menemui sebarang bom dan emel itu adalah berita palsu yang mahu mendatangkan kegusaran kepada pihak sekolah serta ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 9:58 PM