GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Bangi: Polis menerima satu lagi laporan ancaman bom palsu di daerah Kajang hari ini yang diterima pihak sekolah melalui emel.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, laporan itu diterima sekitar jam 8 pagi membabitkan sebuah sekolah antarabangsa di daerah ini.

Menurutnya, emel itu diterima semalam namun pihak sekolah hanya menyedari pagi ini dan polis tetap ke lokasi mengikut prosedur standard operasi (SOP).

"Jadi di Daerah Kajang kita menerima dua laporan berkaitan ancaman bom palsu di mana satu lagi laporan diterima jam 10 pagi semalam.

"Kita mengambil tindakan mengikut SOP dengan mengosongkan bangunan sekolah dan pelajar dipindah ke tempat selamat iaitu di padang," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes dan Lelongan Kenderaan IPD Kajang di Balai Polisi Bandar Baru Bangi, hari ini.

Mohd Zaid berkata, unit pemusnah bom dan unit anjing pengesan (K9) juga membuat tindakan pembersihan keselamatan (security flushing) di mana mendapati tiada bahan letupan atau benda mencurigakan.

"Kita kemudian menyerahkan kembali kepada pihak sekolah untuk meneruskan aktiviti mereka semalam selepas selesai memeriksa.

"Kandungan emel itu hanya memaklumkan ada tertanam bom di sekolah terbabit dan satu kertas siasatan sudah dibuka," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu di beberapa sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah antarabangsa dan sekolah swasta di seluruh negara hari ini.

Daripada jumlah itu, tujuh laporan diterima di Selangor selain Kuala Lumpur (lima laporan) ; Johor (tiga laporan) ; Pulau Pinang (dua laporan); Negeri Sembilan dan Perak (satu laporan) setakat 6 petang ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ancaman itu dihantar melalui dua akaun emel menggunakan nama 'taktstorer' dalam bahasa Jerman yang bermaksud 'pengganggu ketenteraman' daripada penyedia perkhidmatan emel beeble.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 12:11 PM