FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang pengarah syarikat rugi RM2.3 juta selepas terpedaya dengan penawaran pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 39 tahun itu pada jam 12.31 tengah hari, Jumaat lalu.

Beliau berkata, mangsa mengetahui mengenai pelaburan saham itu melalui Facebook.

"Mangsa kemudian menekan 'link' pelaburan yang diberikan dan memberikan nombor telefon.

"Dia kemudian dimasukkan ke dalam satu grup WhatsApp yang memberikan maklumat mengenai cara membuat pelaburan saham.

"Mangsa diarahkan mendeposit wang bagi memasuki pelaburan saham yang ditawarkan.

"Mangsa membuat pindahan wang secara atas talian sebanyak enam kali membabitkan wang berjumlah RM2,378,000 ke dalam enam akaun bank berlainan seperti diarahkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dimaklumkan berjaya mendapat keuntungan sebanyak RM256,000.

Namun, katanya, apabila mangsa hendak buat pengeluaran wang keuntungan, dia dikehendaki membuat bayaran terlebih dahulu sebanyak RM523,000.

"Wanita berkenaan kemudian berasa ditipu dan membuat laporan polis," katanya.

Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 4:08 PM