ASISTEN Komisioner Ahmad Adnan Basri. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
ASISTEN Komisioner Ahmad Adnan Basri. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Noor Hidayah Tanzizi


Bagan Datuk: Peniaga berusia 28 tahun kerugian RM154,477 selepas terpedaya dengan pelaburan saham yang tidak wujud ditawarkan kenalan menerusi WhatsApp.

Mangsa yang menetap di Taman Sri Iskandar, Hutan Melintang di sini menerima 'link' pelaburan saham dikenali Deizheng7.Com yang dihantar seorang wanita di WhatsApp pada 29 Mac lalu dan membuat beberapa transaksi sebelum menyedari dirinya ditipu semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, wanita berkenaan mengajak mangsa untuk membuat pelaburan dan memintanya membuat pendaftaran.

Menurutnya, mangsa terpedaya selepas tertarik dengan tawaran suspek yang mendakwa lelaki itu boleh mendapat pulangan 10 peratus daripada jumlah pelaburan sekiranya dia melabur dengan wanita berkenaan.

"Mangsa yang sudah mendaftar dalam sistem laman web itu memindahkan wang sebanyak RM500 ke akaun Maybank yang diberi suspek dan selepas 20 minit dia mendapat kembali wang sebanyak RM550 dalam akaun banknya.

"Pada 30 Mac lalu mangsa kemudiannya sekali lagi memindahkan sebanyak RM5,000 ke akaun yang diberikan oleh suspek dan pada hari sama juga mangsa menerima pulangan wang sebanyak RM5,532," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa berasa yakin dengan pelaburan berkenaan kemudiannya memindahkan sejumlah wang lagi melalui beberapa transaksi pada 31 Mac hingga Isnin lalu ke akaun Maybank dan RHB Bank yang diberikan suspek.

Menurutnya, untuk tempoh itu mangsa membuat pemindahan wang berjumlah RM38,377 melalui sembilan transaksi dan RM40,100 melalui lapan transaksi berlainan ke akaun Maybank.

Katanya, sejumlah RM76,000 pula dipindahkan melalui lima transaksi ke akaun RHB Bank untuk mendapatkan promosi token percuma sebanyak RM5,888.

"Mangsa perlu melabur wang sebanyak tiga kali untuk mendapatkan semula wang dilaburkan atau boleh menaik taraf hingga RM100,000 untuk menjadi akaun VIP bagi mendapatkan semula keseluruhan wang pelaburan.

"Apabila akaun laman web mangsa sudah menjadi lebih RM100,000 dia mahu mengeluarkan semua wangnya tetapi pegawai khidmat pelanggan laman web berkenaan memberitahu duit yang mahu dikeluarkan terlalu banyak dan akan dikenakan cukai serta mangsa perlu membuat bayaran cukai seperti yang diarahkan," katanya.

Ahmad Adnan berkata, selepas semua wang itu dimasukkan, suspek masih meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke akaun bank berkenaan tetapi mangsa juga tidak menerima pulangan wang seperti yang dijanjikan.

Katanya, mangsa kemudiannya diminta memasukkan sebanyak RM4,577 lagi ke akaun Maybank untuk menambahkan keuntungan, namun dia tidak membuat sebarang transaksi.

"Mangsa cuba menghubungi suspek semalam namun nombor telefon berkenaan sudah tidak aktif dan merasa terpedaya sebelum membuat laporan polis.

"Suspek adalah kenalan melalui WhatsApp saja dan mangsa tidak pernah berjumpa dengannya. Kerugian yang dialami mangsa sebanyak RM154,477," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya kepada pelaburan saham yang tidak berdaftar dengan Bank Negara bagi mengelakkan penipuan dan kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 3:08 PM