GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Jeli: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menerima tiga aduan mengenai kelibat seekor harimau berkeliaran di Kampung Baru Malaysia, di sini, sejak seminggu lalu.

Haiwan itu berkemungkinan datang sama ada dari kawasan hutan Sungai Sator atau Jedok dan dipercayai membaham seekor kambing ternakan penduduk.

Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, aduan pertama diterima pada 3 Ogos lalu namun tidak dapat dipastikan spesis sama ada harimau kumbang atau belang.

"Aduan kedua pula diterima keesokan harinya iaitu kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi aduan pertama.

"Aduan terbaru pula diterima pagi semalam yang dibuat seorang penduduk yang memaklumkan kambingnya dibaham harimau pada malam Isnin lalu.

"Semasa siasatan dibuat pagi semalam, pihak kami menjumpai kulit kambing yang tersisa dalam kebun getah belakang rumah jiran pengadu dan kami mengesyaki ia angkara harimau sama yang berkeliaran di lokasi dua aduan terdahulu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Hafid berkata, susulan itu pihaknya memasang perangkap yang dinamakan 'Perangkap Wahab' dengan meletakkan umpan seekor kambing namun setakat ini masih belum berhasil menangkap haiwan itu.

Katanya, pemantauan dari semasa ke semasa sentiasa dibuat sama ada di lokasi pemasangan perangkap atau kawasan sekitar.

"Kita juga menjalankan khidmat nasihat kepada penduduk untuk mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian selain meminta mereka segera menghubungi kami sekiranya ternampak kelibat atau jejak harimau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 11:58 AM