Usaha pencarian sejak semalam akan disambung semua esok. FOTO Ihsan Bomba
Usaha pencarian sejak semalam akan disambung semua esok. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Seorang guru lelaki berusia 38 tahun dipercayai hilang di kawasan hutan di Pusat Rekreasi Sedim, di sini semalam.

Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Rahimi Ali berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mencari mangsa sedang dilakukan di kawasan terbabit.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada jam 4.25 petang semalam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, Pasukan Must Team, unit anjing pengesan (K-9) serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pergi ke lokasi.

"Usaha mencari mangsa, Mohd Hafiz Jasmi yang dilakukan sejak semalam disambung jam 8 pagi hari ini.

"Setakat ini petunjuk yang ditemui di lokasi adalah sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai ditinggalkan di kawasan itu.

"Operasi SAR pagi tadi dibahagikan kepada tiga zon iaitu zon pertama dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) menuju ke Puncak Gunung Bintang sejauh enam kilometer (km) manakala Zon 2 dari PKB ke kawasan bahagian bawah (2 km)," katanya di sini hari ini.

Mohd Rahimi berkata, pencarian di zon tiga pula dilakukan dari PKB melalui laluan trek (2 km) dan operasi diteruskan sehingga mangsa ditemui.

Beliau berkata, operasi SAR turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan renjer hutan.

"Operasi hari ini ditangguhkan jam 5.30 petang tadi berikutan hujan lebat di kawasan itu dan akan disambung semula jam 8 pagi esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 6:02 PM