ANGGOTA Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Kulim dan Sungai Petani sedang mencari mangsa dikhuatiri lemas seorang lelaki cina yang masih belum ditemui sejak semalam di dalam sungai Kedah berhampiran Kampong Ganding Dalam, Jalan Alor Mengkudu. FOTO Sharul Hafiz Zam
ANGGOTA Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Kulim dan Sungai Petani sedang mencari mangsa dikhuatiri lemas seorang lelaki cina yang masih belum ditemui sejak semalam di dalam sungai Kedah berhampiran Kampong Ganding Dalam, Jalan Alor Mengkudu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zuliaty Zulkiffli


PENCARIAN dua mangsa yang dikhuatiri lemas di lokasi berasingan di daerah ini iaitu di muara Kuala Kedah dan Sungai Kedah diteruskan pagi ini.

Pegawai Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, pencarian di Sungai Kedah disambung bermula 7.50 pagi tadi membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan lapan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM dari Kulim dan Sungai Petani.

Beliau berkata, operasi pada hari kedua hari ini diperluas sehingga lingkungan lima kilometer dari jarak mangsa, Ho Chun Chian, 22, yang dilaporkan terjatuh dari jambatan di Kampung Ganding Dalam di sini sekitar 11.30 pagi semalam.

Mangsa yang juga penyelia dilaporkan terjatuh ketika sedang melakukan tinjauan untuk kerja merobohkan jambatan lama di kawasan itu bersama seorang lagi penyelia dan seorang pekerja Myanmar.

Berikutan itu, operasi mencari mangsa bermula 11.59 pagi sebaik pasukan bomba tiba di lokasi selepas menerima panggilan jam 11.49 pagi.

"Operasi bermula sejak mangsa dilaporkan jatuh pagi semalam dan dihentikan malam tadi.

Anggota kami turut melakukan pencarian di permukaan air di sekitar kawasan berhampiran.

"Operasi disambung semula pagi ini dan pasukan PPDA tiba di lokasi jam 10.43 pagi tadi dan melakukan selaman untuk mencari mangsa di dasar sungai.

"Sungai ini mempunyai kedalaman kira-kira enam meter dan antara cabaran yang dilalui anggota PPDA termasuklah penemuan mata kail di dasar sungai dan kayu serta sampah di dasar akibat arus deras," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Dalam kes lemas di muara Kuala Kedah, Rahimi berkata, operasi pencarian seorang pemancing ikan, Lam Yat Seng, 39, masih diteruskan dan diperluaskan sehingga tiga batu nautika dari jarak pencarian semalam.

Beliau berkata, selaman tidak dapat dilakukan disebabkan pasang surut sedang berlaku menyebabkan arus deras dan menyukarkan anggotanya untuk menyelam.

"Operasi turut membabitkan 10 anggota dari JBPM Kedah, tiga anggota polis marin, empat anggota polis dan dua tentera," katanya.

Dalam kejadian semalam, Lam Yat Seng dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam muara Kuala Kedah pada 2.29 pagi ketika berlaku air pasang besar di kawasan itu dan operasi pencarian di permukaan air dilakukan pasukan penyelamat di kawasan.

Berita berkaitan:

Cari lelaki terjatuh sungai

[UPDATE] Baru tiga bulan bekerja

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 5:10 PM