Kerk (dua dari kanan) ketika meninjau kerosakan rumah Safri Abd Khalid akibat ribut, petang semalam. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Kerk (dua dari kanan) ketika meninjau kerosakan rumah Safri Abd Khalid akibat ribut, petang semalam. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Mujur tiada siapa di rumah ketika bumbung rumah dihempap pokok cempaka berusia 80 tahun," kata Safri Abd Khalid, 40, salah seorang mangsa dalam kejadian ribut melanda sekitar Batu Berendam, petang semalam.

Peniaga makanan itu berkata bumbung rumah pusaka terletak di Kampung Pulai Samak dekat sini, rosak di bahagian ruang tamu, bilik tidur dan dapur.

"Ketika kejadian saya berada di luar atas urusan kerja manakala isteri (Aniza Ibrahim, 36) pulang ke rumah mentua di Johor.

"Ibu (Aminah Ibrahim, 77) pula berada di rumah adik di Bachang. Saya hanya mengetahui rumah ditimpa pokok selepas dihubungi rakan kira-kira jam 5.30 petang dan bergegas pulang.

"Sejak 30 tahun menetap di sini, ini kali pertama Allah uji rumah kami dilanda ribut... namun saya reda. Kini saya menumpang sementara di surau kampung sementara kerosakan bumbung dibaiki," katanya yang menganggarkan kerugian dialami kira-kira RM10,000 termasuk peralatan rumah yang ditimpa air hujan.

Safri ditemui pemberita di rumahnya ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh merangkap Timbalan Speaker DUN Melaka, Kerk Chee Yee, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Abdullah Lajim, 68, berkata, dia terkejut melihat atap rumah sewanya diterbangkan angin kira-kira 100 meter hingga ke surau Madrasah Al-munirah di kampung itu.

"Ketika kejadian, kilat dan guruh bersabung tapi hujan tidak begitu lebat sebelum saya dan isteri yang berehat di dalam rumah dikejutkan deruan angin yang sangat kuat dan bunyi seperti benda tercabut.

"Apabila ribut reda, saya keluar untuk memeriksa dan terkejut melihat bumbung rumah sudah terlopong diterbangkan angin kencang sampai ke surau kampung dan turut menimpa rumah jiran," katanya.

Rumah mereka antara 11 rumah kediaman dan sebuah bengkel membaiki motosikal terjejas akibat kejadian ribut di sekitar Batu Berendam di sini petang semalam.

Kejadian kira-kira 5.30 petang itu membabitkan kawasan perumahan Taman Sri Selendang, Kampung Pulau Samak dan Taman Mas Merah.

Sementara itu, Kerk berkata, permohonan bantuan ehsan bencana alam kepada semua mangsa akan diproses segera oleh pejabatnya, Parlimen Hang Tuah Jaya serta pejabat daerah.

"Daripada 11 rumah yang terjejas ribut, tujuh di Kampung Pulau Samak dan masing-masing dua di Taman Sri Selendang dan Taman Mas Merah.

"Sejak semalam banyak agensi kerajaan hadir memberi bantuan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana ada tiang elektrik patah. APM Melaka (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) juga akan membantu memotong dan membersihkan pokok di atas bumbung rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 4:55 PM