Penduduk membersihkan sisa pokok yang tumbang akibat dilanda ribut. FOTO NAZDY HARUN
Penduduk membersihkan sisa pokok yang tumbang akibat dilanda ribut. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Kuala Berang: Kira-kira 30 rumah mengalami kerosakan terutama di bahagian bumbung dalam kejadian ribut di Kampung Bukit Kolam, Ajil, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira 3.30 petang itu turut menyebabkan banyak pokok tumbang hingga menghalang lalu lintas.

Penduduk, Rosidah Tawang, 56, berkata kejadian ribut itu berlaku dalam sekelip mata ketika dia bersama lima ahli keluarga termasuk cucu berada dalam rumah.

"Ketika kami sekeluarga sedang berehat di dalam rumah tiba-tiba dikejutkan dengan angin kencang, kilat serta hujan lebat.

"Saya bagaikan hilang arah dan panik menyebabkan kami duduk berdekatan antara satu sama lain serta berpegangan tangan bagi memastikan semua empat cucu selamat.

"Sebatang pokok durian turut tumbang dan menghempap ruang tamu rumah hingga meranapkan dinding, namun saya bersyukur kerana semuanya selamat," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, kejadian ribut itu kali pertama berlaku sejak dia menetap di kampung itu kira-kira lebih 30 tahun lalu.

Penduduk lain, Norafizah Mohd Nor, 39, berkata dia terkejut apabila melihat putaran kepala angin sebelum bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama tujuh ahli keluarga berada di rumah dalam keadaan ketakutan.

"Kami berkumpul di bahagian dapur dan hanya mampu melihat lebih 10 keping atap di ruang tamu dan bilik diterbangkan angin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 3:31 PM