Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan pekerja ibu mentuanya di sebuah taman perumahan di sini, Mei lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Afiq Ikhwan Mohamad Zukhi, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi maksud mencabul kehormatan wanita berusia 21 tahun di Taman Megah Jaya, di sini, pada 5 pagi, 3 Mei lalu.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga pekerja kepada ibu mentua tertuduh di kantin sebuah Kem Tentera, dicabul di sebuah bilik di lokasi kejadian.

Kejadian itu disedari oleh isteri tertuduh serta ibu mentuanya lalu cuba membuka pintu bilik mangsa, namun tertuduh mengarahkan mangsa supaya tidak membuka pintu sebelum bersembunyi di dalam almari di bilik berkenaan.

Mangsa yang ketakutan kemudiannya membuka pintu dan menerangkan kejadian itu kepada isteri dan ibu mentua tertuduh.

Mangsa membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap kira-kira 2 petang pada hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua orang penjamin dan dilarang mengganggu saksi, selain tertuduh dikehendaki melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh, Muhammad Afiq Ikhwan, 23, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan wanita berumur 21 tahun, 3 Mei lalu. Nstp / Abdul Rahemang Taiming.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 2:21 PM