ANGGOTA bomba menggali mayat pekerja Bangladesh selepas dipercayai tertimbus ketika sedang membina tapak bagi pembinaan lebuh raya di Kampung Maka, Labok dekat Pulai Chondong. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA bomba menggali mayat pekerja Bangladesh selepas dipercayai tertimbus ketika sedang membina tapak bagi pembinaan lebuh raya di Kampung Maka, Labok dekat Pulai Chondong. FOTO Ihsan PDRM
Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Polis sudah mengenal pasti identiti tiga pekerja warga Bangladesh yang maut tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di tapak projek pembinaan jalan baharu di Kampung Maka, Labok dekat Pulai Chondong, tengah hari tadi.

Mangsa adalah Jahidul Khan dan Md Sajjad Hossain masing-masing berusia 20 tahun manakala seorang lagi adalah Munirul, 31.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan mendapati kesemua mangsa sedang bekerja dalam parit salur air berkedalaman kira-kira 4.8 meter, pada 1.30 tengah hari.

Katanya, secara tiba-tiba berlaku runtuhan tebing tanah lalu menimpa ketiga-tiga mangsa.

"Operasi menggali mayat mangsa dijalankan oleh pihak bomba dan penyelamat dengan bantuan jentolak bermula 2 petang dan kesemua mangsa yang tertimbus berjaya dikeluarkan.

"Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Ahmad Alfarra Mohamad Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.44 tengah hari.

"Pihak kami mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kesemua mayat yang mana mangsa pertama ditemui pada 2.49 petang dan mayat kedua jam 3.39 petang.

"Mayat terakhir ditemui pada 3.50 petang sebelum operasi ditamatkan.

"Kesemua mangsa disahkan meninggal oleh pegawai kementerian kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 9:48 PM