DR Zaliha ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat. FOTO Bernama
DR Zaliha ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana keputusan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO CA+) dan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005).

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan komited untuk memelihara kedaulatan negara, kuasa Raja-Raja Melayu dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menggesa agar semua pihak tidak terpedaya dengan berita-berita palsu yang disebar luas di media sosial berkait isu itu ketika ini.

"Pendirian Malaysia dalam isu ini adalah jelas iaitu kedaulatan dan autonomi negara tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak.

"Sebarang penggubalan pada undang-undang antarabangsa mestilah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, memelihara kedaulatan negara, kuasa Raja-Raja Melayu dan kuasa Yang di-Pertuan Agong serta tidak melanggar Hak Asasi Kebebasan Rakyat," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menuntut kerajaan membantah WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 kerana dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan dipetik berkata, Malaysia harus tegas dan wajib menolak pindaan IHR 2015 sebelum 1 Disember depan iaitu tarikh akhir bantahan supaya negara tidak dijajah anasir luar.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, negara ini juga mempertahankan prinsip keadilan dan solidariti dalam pentadbiran kesihatan global.

"Malaysia berpandangan adalah penting untuk negara-negara maju membantu negara-negara membangun dengan sumber-sumber yang mereka ada. Pengagihan sumber mestilah adil dan saksama," katanya.

Selain itu katanya, penyertaaan Malaysia dalam rundingan-rundingan ini dipacu oleh matlamat untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih kuat dan lestari.

"Malaysia mengiktiraf keperluan untuk membangunkan kapasiti, kerjasama yang kukuh dan koordinasi dalam kalangan industri untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang wabak pada masa akan datang.

"Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan sumber-sumber kesihatan adalah adil dan boleh diakses di peringkat global, dan menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh," katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang giat menjalankan proses libat urus dengan 12 agensi atau kementerian di samping penubuhan dua jawatankuasa

bagi meneliti pindaan IHR 2005 dan WHO CA+.

"Keputusan yang dibuat oleh dua jawatankuasa ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dimuktamadkan," katanya.

Berita berkaitan:

WHO CA+, pindaan IHR 2005: Jaga kesihatan awam selaras undang-undang, kedaulatan negara

Malaysia perlu bantah WHO CA+, pindaan IHR 2005

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 1:50 PM