TAN Sri Azam Baki
TAN Sri Azam Baki
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada kuasa untuk menghalang ahli politik lompat parti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan oleh SPRM hanya akan dilakukan jika ada sebarang bukti berlakunya penawaran wang ketika perbuatan itu dilakukan.

"Namun saya tidak menafikan SPRM pernah menerima laporan berhubung penawaran wang untuk ahli politik lompat parti tetapi tiada kes yang boleh dibuktikan ada wang dibayar," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau bersetuju perlunya diwujudkan akta mengenai pembiayaan dana politik.

Menurutnya, ia bagi memastikan sumbangan yang diterima mana-mana parti politik adalah daripada sumber bersih.

"Dana (politik) yang kita tidak tahu daripada datangnya, kita bimbang ia adalah dana haram. Undang-undang perlu diadakan bagi tujuan mengawal dana yang diterima parti politik daripada sumber yang tidak dapat dipastikan (unknown source).

"Ini kerana dana-dana yang datang itu berkemungkinan diperolehi daripada sumber-sumber haram," katanya.

Menurutnya, Malaysia wajar mengambil contoh beberapa negara lain yang mempraktikkan akta pembiayaan dana politik.

Katanya, pada masa yang sama ahli politik dapat membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mengamalkan kepemimpinan telus dan berintegriti.

"Ketika ini, negara kita tidak mempunyai undang-undang khusus berhubung pembiayaan dana politik. Sekiranya ahli politik dan Parlimen mewujudkan akta ini, ia perlu disokong," katanya.

Beliau juga mengakui SPRM sukar untuk membezakan pemberian dana politik dengan rasuah, namun apabila menerima laporan berhubung seorang ahli politik menerima dana, SPRM akan menjalankan siasatan dan mengklasifikasikannya sebagai kes rasuah.

"Setakat ini, kita tidak menyiasat mana-mana orang kerana tiada undang-undang itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 6:41 PM