GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan status kawasan tempatan jangkitan akan diteruskan meskipun Covid-19 tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).

Menterinya Dr Zaliha Mustafa menerusi kenyataan memaklumkan perkara itu perlu bagi memenuhi keperluan isolasi atau pengasingan kes Covid-19 di mana-mana tempat selain hospital dan keperluan majikan menanggung kos rawatan serta pengujian Covid-19 yang diarahkan oleh pegawai diberi kuasa untuk dijalankan kepada pekerjanya.

"Dijangkakan penilaian risiko situasi jangkitan Covid-19 di dalam Malaysia akan dilaksanakan pada pertengahan Jun 2023 bagi menyemak semula pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan untuk menentukan hala tuju seterusnya," katanya.

Sementara itu, Zaliha berkata keputusan PHEIC itu susulan hasil mesyuarat Jawatankuasa Darurat Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) yang berlangsung di Geneva pada pada 4 Mei lalu.

Katanya, keputusan ini mengambil kira trend global yang menunjukkan penurunan bagi kes kematian Covid-19, kemasukan kes ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tahap imuniti populasi dunia terhadap virus SARS-CoV-2 yang tinggi.

Dr Zaliha berkata antara penyumbang keputusan itu membabitkan kebolehcapaian kepada diagnosis, rawatan, dan vaksin serta pemantauan varian virus SARS-CoV-2 juga menunjukkan tidak menyebabkan jangkitan Covid-19 yang teruk.

"Kementerian Kesihatan akan meneruskan langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 berdasarkan protokol sedia ada serta membuat semakan semula dan mengemas kini garis panduan Covid-19 dengan merujuk kepada kenyataan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) berkaitan transisi pengurusan jangka masa panjang pandemik Covid-19," katanya.

Kementerian Kesihatan sentiasa komited dan akan terus memantau situasi Covid-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 4:43 PM