GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Pembayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi tahun ini akan disalurkan kepada 5.5 juta penerima secara berperingkat sebelum perayaan Deepavali mulai 7 November depan membabitkan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata daripada jumlah itu, seramai 5.22 juta penerima STR sedia ada bakal menerima bantuan tunai sehingga RM1,200.

Katanya, lebih 280,000 penerima baharu yang diluluskan menerusi Rayuan STR 2023 turut menerima bantuan tunai di bawah STR Fasa 4 itu.

"Mereka akan menerima sehingga RM2,500 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

"Pembayaran ini adalah bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini.

"Pada tahun ini, kerajaan membelanjakan hampir RM8 bilion untuk STR 2023 kepada 8.7 juta penerima yang memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia bagi membantu mereka menangani cabaran kos sara hidup," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tahun ini, proses permohonan STR hanya dibuat setahun sekali.

Justeru, sebagai penambahbaikan pada STR 2024, kerajaan akan mengambil pendekatan berbeza bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

Menurutnya, mulai 1 November, individu yang layak boleh membuat permohonan baharu dan mengemas kini maklumat mereka untuk STR 2024 sepanjang tahun.

"Ini bagi memastikan mereka yang layak namun tiada dalam pangkalan data kerajaan boleh tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat.

"Bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau 'exclusion error', data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan," katanya.

Jelasnya, data terbabit akan disemak silang dengan data daripada beberapa agensi kerajaan bagi memastikan kelayakan untuk STR 2024 mengikut syarat yang ditetapkan.

Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Semakan status pembayaran dan kelulusan Rayuan STR boleh dibuat melalui pautan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 6:19 PM