LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: "Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah kakak dua minggu lalu dan ketika itu kami pergi bercuti di Thailand.

"Ketika itu, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum dikejutkan dengan berita kematiannya pagi tadi," kata adik mangsa yang enggan namanya disiarkan.

Menurutnya, dia menerima berita sedih itu selepas anak kakaknya menelefon memaklumkan ibunya meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, kehilangan kakak kedua daripada tujuh adik beradik begitu dirasai dan lebih sedih apabila mendapat tahu sebab kematiannya.

"Saya harap pelaku terhadap arwah kakak dikenakan hukuman yang seadilnya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Menurutnya, jenazah kakaknya dijangka dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Kenangan, Kampung Baharu, Kerteh sebaik selesai proses bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan mayat wanita berusia berusia 65 tahun ditemukan di dalam longkang dipercayai dibunuh berdekatan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu di Jalan Batu 23, Kuala Berang.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan mengesahkan seorang peniaga wanita ditemukan mati dengan 15 kesan tikaman.

Beliau berkata, suspek ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 11 pagi dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 6:07 PM