PENIAGA memeriksa tahap kesegaran ayam yang dijual ketika tinjauan harga di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Sadiq Sani
PENIAGA memeriksa tahap kesegaran ayam yang dijual ketika tinjauan harga di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Sadiq Sani
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Tiada kenaikan harga mendadak bagi ayam bulat segar di sekitar Lembah Klang biarpun penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi bahan mentah itu bermula hari ini.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Chow Kit mendapati harga ayam masih dijual antara RM9 sehingga RM9.40 sekilogram, manakala di Pasar Harian Kuala Lumpur pula kebanyakan peniaga menjual antara RM8 hingga RM9 yang mana masih di bawah dan sama dengan harga siling sebelum ini, RM9.40.

Pemerhatian juga mendapati kehadiran pelanggan juga seperti hari lain dan bekalan bahan mentah itu masih banyak di Pasar Chow Kit, manakala di Pasar Harian Kuala Lumpur ada peningkatan pelanggan dan bekalan juga cepat habis.

Peniaga ayam di Pasar Chow Kit, Naqiuddin Mohd Fauzi, 21, berkata, hari ini harga jualan di pasar berkenaan masih sama oleh kebanyakan peniaga iaitu RM9 sekilogram dan mereka juga tidak mengenakan sebarang caj pemotongan ayam kerana mengakui harga daripada pembekal sudah stabil.

Menurutnya, harga ayam semakin menurun dan kini stabil sejak hampir dua bulan lalu, namun berharap harga itu akan terus stabil tanpa kenaikan mendadak dalam jangka tempoh panjang dan tidak hanya untuk beberapa hari ini saja.

"Sebelum ini harga ayam kami dapat (daripada pembekal) agak mahal pernah cecah RM10 tetapi kami perlu jual ikut harga siling RM9.40 jadi sebab itu kami tambah caj pemotongan untuk 'cover' kos lain juga kerana tiada untung sebelum ini.

"Sekarang harga sudah stabil dan kami terus hapuskan caj itu tetapi kami harap penternak dan peladang dapat kekalkan harga seperti ini sebab kalau harga mereka tinggi kami juga terpaksa naikkan harga," katanya ketika ditemui, hari ini.

Peniaga ayam, Nur Farah Izzati Halim, 25, berkata, hari ini harga jualan ayam daripada tiga pembekalnya masih rendah iaitu antara RM6.90 hingga RM7.20, namun dia menjual bahan mentah itu RM9 untuk sekilogram dan berharap harga itu akan terus stabil, tidak menekan rakyat dan juga peniaga.

Bagaimanapun katanya, dia tidak boleh menjamin harga itu akan kekal lama kerana ia bergantung kepada pembekal dan mengakui harga akan sama dalam tempoh seminggu sehingga sebulan, namun pernah berubah dalam masa tiga hari saja.

Peniaga Pasar Harian Kuala Lumpur, Noordilla Aida Othman, 39, berkata, dia menjual ayam segar pada harga antara RM8 hingga RM9 sejak beberapa bulan ini, namun mengakui harga jualan juga perlu melihat kepada harga pembekal.

"Harga daripada pembekal saya agak rendah juga dan saya memang mahu jual harga seperti itu biarpun untung hanya kira-kira RM0.50 hingga RM1 saja.

"Kalau jual mahal sangat nanti pelanggan pula terkesan jadi dapat untung banyak itu sudah baik bagi saya. Hari ini jam 10 pagi tadi ayam sudah habis terjual dan memang ramai orang beli ayam kerana mereka bimbang harga naik.

"Tetapi sebenarnya tanpa kawalan atau tidak, harga akan tetap naik juga nanti terutama apabila musim perayaan, hujung tahun kerana banyak permintaan untuk kenduri, namun buat masa ini harga ayam memang stabil," katanya.

Pekerja swasta, Muhamad Helmi Mohd Nor, 30, berkata, dia bersyukur harga ayam tidak naik mendadak, namun mengakui bimbang akan berlaku kenaikan pada masa akan datang kerana tiada kawalan harga dan subsidi kerajaan.

"Berapa pun harga ayam, rakyat terpaksa beli juga kerana ia keperluan tetapi kalau selepas ini mahal terpaksalah kita had pembelian seperti hari ini saya beli empat ayam untuk tempoh seminggu mungkin selepas ini hanya dua ekor saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 1:01 PM