LOKASI kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Amir Hamzah Nordin

Lipis: Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dan bayi enam bulan parah selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 57 Jalan Lipis ke Merapoh dekat sini, kira-kira 6 petang semalam.

Kanak-kanak itu, Muhammad Ali Anaqi Mohd Ilham, 7, yang juga murid Sekolah Kebangsaan Panggong, Pasir Puteh, Kelantan, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis, 12.05 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, setibanya di tempat kejadian, kereta dipandu ibu mangsa, Nursaryanie Sabri, 32, dipercayai hilang kawalan dan merempuh besi penghadang jalan di sebelah kiri sebelum terbabas.

"Turut menaiki kereta itu, bapa Nursaryanie yang berusia 60 tahun, adiknya berusia 23 tahun dan empat orang anaknya berusia antara enam bulan hingga tujuh tahun dan mereka dalam perjalanan dari Pasir Puteh, Kelantan ke Kuala Lumpur.

"Akibat kemalangan itu, anak Nursaryanie , Muhammad Ali Anaqi dibawa ke Klinik Kesihatan Merapoh sebelum dihantar ke Hospital Lipis untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis di sini, hari ini.

Menurut Azli, seorang anak Nursaryanie, Nuh Nabhan yang berusia enam bulan juga parah.

Difahamkan, individu lain di dalam kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan atau hanya cedera ringan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 9:46 AM