GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Hamzah Nordin


Lipis: Perjalanan lima sekeluarga ke Kelantan untuk menghadiri majlis pengebumian saudara berakhir tragedi apabila seorang daripadanya meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas, awal pagi hari ini.

Kemalangan di Kilometer (KM) 18 Jalan Benta-Lipis dekat sini, pada 3.50 pagi itu mengorbankan Normawati Mamat, 52, manakala tiga yang lain cedera.

Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang berada dalam Proton Exora itu bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kenderaan itu dipandu lelaki berusia 25 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanah Merah, Kelantan untuk menghadiri pengebumian saudara.

"Apabila tiba di lokasi, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke sebelah kiri jalan, yang menyebabkan mangsa tercampak keluar.

"Penumpang lain cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis. Mayat turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, wanita itu juga antara dua korban kemalangan pada hari ketiga Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina yang mana korban pertama adalah warga emas berusia 80 tahun yang kemalangan di KM21 Jalan Lipis-Merapoh dekat Padang Tengku.

Katanya, kemalangan itu berlaku pada 1.20 pagi apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa bertembung dengan kereta jenis sama yang datang dari arah Kuala Lumpur.

"Mangsa, Hasnah Mohamed yang beralamat di Kampung Raja, Pasir Putih, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga individu cedera, dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya yang menasihati pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 4:46 PM