ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap. FOTO ihsan polis
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap. FOTO ihsan polis
Roselan Ab Malek


TIGA maut dan seorang parah selepas Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan kelapa sawit di Kilometer 19, Jalan Lipis, Merapoh berhampiran Padang Tengku, Lipis, hari ini.

Dalam kejadian 6.45 petang itu, pemandu Proton Wira, Faizul Idzafi Azmi, 34, penumpang belakang, Roziah Mohamed Yusof, 22, dan Mohamed Rozuan Mohamed Yusoff, 32, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira yang datang dari arah Kelantan - Kuala Lumpur bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

"Lori terbabit dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta berkenaan menyebabkan Proton Wira itu remuk di bahagian depan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan dua penumpang di tempat kejadian manakala penumpang hadapan kereta, Mohd Zulhelmi Mustafa, 25, parah di kepala dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis," katanya hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori, Muhammad Zainal Abidin Mohd Noor, 29, dan kelindan, Muhammad ShahrizalAriffin, 18, tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 9:58 PM