Asrol Awang

Kuantan: Jenazah Muhammad Izzat Abdul Wahab yang meninggal dunia di Tachileik, Myanmar pada 14 Oktober lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu, di sini malam ini.

Lebih 500 keluarga dan kenalan arwah menghadiri pengebumian yang selesai pada 11.20 malam.

Terdahulu, solat jenazah dilaksanakan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Peramu sebelum dibawa ke tanah perkuburan sebaik tiba 10.36 malam tadi.

Jenazah Allahyarham tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 3.50 petang hari ini dari Yangon sebelum dibawa pulang ke Kuantan.

Pada 14 Oktober lalu, Muhammad Izzat, 28, meninggal dunia selepas berjaya diselamatkan daripada dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara berkenaan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, arwah meninggal dunia kerana dipercayai akibat serangan jantung.

Namun, laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Yangon memaklumkan arwah meninggal dunia kerana sesak nafas.

Susulan keputusan itu, ahli keluarga Muhammad Izzat bersetuju tiada bedah siasat kedua selepas berpuas hati dengan keputusan laporan perubatan di Yangon.

JENAZAH Muhammad Izzat Abdul Wahab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu, Kuantan. FOTO  Asrol Awang
JENAZAH Muhammad Izzat Abdul Wahab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu, Kuantan. FOTO Asrol Awang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 11:44 PM