Nurul Diyana Mohd Shukri menunjukkan gambar Allahyarham suami, Muhammad Izzat Abdul Wahab ketika ditemui di Kampung Peramu, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Nurul Diyana Mohd Shukri menunjukkan gambar Allahyarham suami, Muhammad Izzat Abdul Wahab ketika ditemui di Kampung Peramu, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Isteri Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28, reda sekiranya jenazah suaminya dikebumikan di Yangon, Myanmar bagi memudahkan urusan.

Nurul Diyana Mohd Shukri, 27, berkata biarpun hatinya berat menerima keadaan itu, namun pengebumian jenazah arwah dilakukan di negara berkenaan supaya urusan lebih mudah.

Menurutnya, setakat ini, dia tidak dapat memastikan tempoh masa pengebumian kerana jenazah arwah masih berada di sebuah hospital di Tachileik, Myanmar.

"Saya difahamkan jenazah suami akan dibawa ke Yangon, Myanmar, Sabtu ini untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan.

"Secara peribadi, saya reda arwah dikebumikan di Yangon kerana mahu memastikan urusan dipermudahkan.

"Urusan pengebumian akan disertai dua abang dan seorang anak saudara untuk memastikan segala urusan berjalan lancar," katanya ketika ditemui di Kampung Peramu, di sini, hari ini.

Menceritakan kejadian sebelum pemergian suaminya ke Bangkok, Thailand pada 7 Oktober lalu, dia hanya mengetahui suaminya pergi ke negara jiran sehari sebelumnya.

Menurutnya, sebenarnya dia tidak bersetuju dengan keputusan suaminya pergi ke Bangkok sebelum anak saudara menghantar arwah ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), di sini.

"Saya memang berat hati dan meminta suaminya membatalkan hasrat ke Bangkok tetapi arwah tetap mahu ke sana.

"Arwah menaiki tiket kelas perniagaan dari LTSAS ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), manakala menaiki penerbangan kelas ekonomi dari KLIA ke Bangkok.

"Arwah memaklumkan akan pulang selepas tiga hari berada di Bangkok untuk mengambil alat ganti kenderaan, tetapi tidak (pulang) dan kali terakhir berhubung melalui WhatsApp pada 11 Oktober lalu," kata ibu kepada dua anak itu.

Katanya, arwah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk penghantar makanan, pemotong rumput dan pemandu lori untuk menambah pendapatan keluarga.

"Arwah memang seorang yang gigih dalam mencari rezeki dan pada Jun lalu, arwah membeli sebuah kereta untuk disewakan sebagai sumber pendapatan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 2:29 PM