LAPORAN terdahulu.
LAPORAN terdahulu.
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang menyumbang RM25,000 bagi membantu membawa pulang jenazah Muhammad Izzat Abdul Wahab yang meninggal dunia ketika dalam tahanan imigresen Myanmar, 14 Oktober lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan memberi sumbangan itu diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hari ini.

"Ia supaya jenazah Allahyarham Muhammad Izzat dapat dikebumikan di kampung halamannya di Kuantan dan saya mewakili Kerajaan Pahang melahirkan rasa sedih atas kejadian yang menimpa arwah.

"Saya berharap keluarga Allahyarham dapat bersabar atas dugaan berat ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menerima sebarang tawaran bekerja di luar negara dan memastikan kesahihannya terlebih dahulu bagi mengelak menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Pada 14 Oktober lalu, Muhammad Izzat, 28, maut dalam tahanan imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan, dipercayai daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara berkenaan.

Difahamkan, kos membawa pulang jenazah mangsa dari Myanmar melebihi AS$6,000 (RM28,440).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 5:28 PM