ABANG Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab, Mohd Hazwan ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Peramu, Kuantan. FOTO Asrol Awang
ABANG Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab, Mohd Hazwan ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Peramu, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Ahli keluarga Muhammad Izzat Abdul Wahab yang meninggal dunia di Tachileik, Myanmar pada 14 Oktober lalu, bersyukur urusan pengebumian malam tadi berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.

Abangnya, Mohd Hazwan, 35, berkata semuanya dipermudahkan terutama dengan bantuan daripada pelbagai pihak yang prihatin terhadap Allahyarham.

Katanya, kehadiran lebih 500 orang ramai di masjid melaksanakan solat jenazah dan di tanah perkuburan menunjukkan bahawa Allah SWT memuliakannya.

"Allah SWT memuliakan arwah dengan seluruh rakyat Malaysia mendoakannya termasuk orang kampung di sini (Kampung Peramu) sama ada yang mengenali dan tidak mengenalinya," katanya ketika ditemui di tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu di sini, malam tadi.

Katanya, sepanjang hidupnya anak bongsu daripada lapan beradik itu seorang yang baik dan disenangi.

Menurutnya, arwah pernah bekerja sebagai penghantar barang, imam dan berkawan dengan imam-imam di masjid negeri.

Jenazah Muhammad Izzat selamat dikebumikan dengan lebih 500 keluarga dan kenalan arwah menghadiri pengebumian yang selesai pada jam 11.20 malam.

Terdahulu, solat jenazah dilaksanakan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Peramu sebelum dibawa ke tanah perkuburan sebaik tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.36 malam tadi.

Jenazah Allahyarham tiba di KLIA kira-kira 3.50 petang semalam dari Yangon sebelum dibawa pulang ke Kuantan.

Pada 14 Oktober lalu, Muhammad Izzat, 28, meninggal dunia selepas berjaya diselamatkan daripada dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara berkenaan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, arwah meninggal dunia kerana dipercayai akibat serangan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 10:32 AM