SATU daripada enam CCTV yang terdapat di kediaman Nasrul Mansor. FOTO Farizul Hafiz Awang
SATU daripada enam CCTV yang terdapat di kediaman Nasrul Mansor. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


POLIS mengesahkan kotak perakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah mangsa samun dan bunuh di Kampung Hijrah, Penor Kuantan, semalam, dilarikan penjenayah.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, berdasarkan siasatan dilakukan pihaknya kotak perakam itu diambil suspek lelaki terbabit dari bilik rumah mangsa.

“Terdapat enam CCTV di rumah mangsa yang kami (polis) percaya dapat merakam kelibat suspek. Namun, kotak perakam itu turut diambil.

“Kerugian lain masih lagi dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Abdul Aziz berkata, laporan bedah siasat yang dikeluarkan Hospital Tengku Ampuan Afzan, semalam, mengesahkan Allahyarham Norhasilah Ismail, 34, maut akibat tikaman di dada yang mengenai jantungnya.

Kejadian dikatakan berlaku selepas arwah selesai menghantar anaknya ke sekolah pada kira-kira 8 pagi Jumaat.

Arwah kemudiannya rumah bersama anak bongsunya, Mohd Aqil Nasrul, 4.

Bagaimanapun, ketika tiba di rumah arwah dikatakan terserempak dengan suspek, berlaku pergelutan dan menyebabkan dia ditikam di bahagian perut dan dada.

Mohd Aqil turut dikurung lelaki terbabit yang kemudianya melarikan diri.

Kejadian berkenaan hanyadisedari suami arwah apabila dia pulang pada 12.30 tengah hari.

Suami mangsa, Nasrul Mansor, 32, ketika ditemui berkata, jenazah isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu, Kuantan pada kira-kira3 pagi, Sabtu.

“Sehingga ini, saya sedar (barang) hilang di rumah adalah rantai dan cincin emas serta jam tangan jenama Rado. Kotak perakam CCTV turut tiada,” katanya.

Nasrul berharap pembunuh isterinya dapat dikesan segera seterunya menerima hukuman setimpal di atas perbuatannya itu.

Berita berkaitan

'Adik jerit, mak kena tikam'

Suri rumah dibunuh penyamun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 1:33 PM